Injil di Kota Yang Tidak Mengenal Tuhan

Injil di Kota Yang Tidak Mengenal Tuhan

Khutbah rasul Paulus di kota Atena dalam Kisah Para Rasul 17:22–29 merupakan sebuah karya agung dalam kontekstualisasi Injil. Khutbah tersebut memperlihatkan kemahiran retorik, sensitif terhadap budaya, dan kekal Alkitabiah. Ia terbit daripada rasa sedih yang begitu mendalam memandangkan para hadirin di situ amatlah sesat. Maka, khutbah Paulus menunjukkan Yesus Kristus kepada mereka melalui penjelasan mendalam tentang siapakah Tuhan dan apa yang Dia kehendaki daripada dunia, serta tertulis dalam bahasa yang jelas dan penuh damai. Ia adalah suatu contoh khutbah penginjilan yang hebat, yang disampaikan kepada dunia yang tidak mengenal Tuhan yang benar, seperti yang Paulus sebutkan sebagai "Tuhan yang tidak diketahui” kepada pendengarnya di Atena.


Keadaan di Dunia Barat hari ini tidak begitu berbeza dengan Atena pada abad pertama. Kita mungkin tidak melihat ahli-ahli falsafah berkeliaran di tempat-tempat awam dengan berpakaian toga, tetapi seperti warga Atena, ramai orang pada hari ini tidak mengetahui apa-apa pun tentang Tuhan yang dinyatakan dalam Alkitab. Budaya Kristian di Barat adalah dangkal dalam beberapa cara. Walaupun dalam kalangan masyarakat di mana agama dihormati, pandangan keagamaan tersebut selalunya tersasar jauh daripada pemahaman yang Alkitabiah mengenai dunia ini. Jika kita ingin mengongsikan berita baik tentang Yesus Kristus, kita perlu bersedia untuk mengajar orang lain tentang Tuhan yang tidak mereka kenali dan melakukannya dengan cara yang tepat, peka, dan setia seperti yang disampaikan oleh Paulus di Atena.


Berdasarkan pemberitaan Paulus dalam Kisah Para Rasul 17, kita boleh menemui sejenis panduan untuk memberitakan Injil pada zaman kita sendiri. Dan kita harus bermula bukan sahaja dengan mengulangi kata-kata Paulus tetapi dengan mencontohi hatinya.

 

Kesedihan dan Iman di Kota Yang Tidak Mengenal Tuhan

Sementara Paulus menantikan kedua-duanya di Atena, dia berasa amat sedih melihat kota itu penuh dengan berhala. Oleh itu, dia berhujah di saumaah dengan orang Yahudi dan orang Yunani yang takut akan Allah; dan di medan kota juga dia berbincang dengan siapa sahaja yang ditemuinya. (Kisah Para Rasul 17:16–17)

Dalam ayat 16, kita mengikuti kisah Paulus semasa dia tiba di Atena selepas perjalanan kira-kira tiga ratus batu dari Berea. Atena pada mulanya tidak berada dalam program misinya, tetapi ketika Paulus menunggu Silas dan Timotius (ay. 14–15) dan berjalan mengelilingi kota itu, “dia berasa amat sedih.” Dalam ayat ini, Lukas menggunakan perkataan yang, selama berabad-abad ini, telah berkembang menjadi perkataan Inggeris paroxysm. Ia menggambarkan tindak balas emosi luar biasa yang terjadi secara tiba-tiba dalam sanubari Paulus. Kenapa hal tersebut terjadi? Kerana kota itu “penuh dengan berhala.”

Paulus berasa terkesan kerana dia komited kepada kesaksian Kitab Suci bahawa hanya ada satu Tuhan. Dia tahu akan Hukum Allah yang pertama dan kedua. Dia tahu akan kesaksian Yesaya: “Sia-sia sahaja semua orang yang membentuk patung ukiran. Benda-benda kegemaran mereka itu tidak berfaedah” (Yes. 44:9). Semasa Paulus melawat kota Atena, dia tidak menangkap gambar dan berkata, “Saya perlu membawa gambar-gambar ini pulang dan menunjukkannya kepada rakan-rakan saya!” Sebaliknya, dia berdukacita apabila mendapati orang Atena berada dalam kesesatan rohani sedangkan kemuliaan Tuhan yang dikasihinya tidak dihormati.

Namun, perhatikan bahawa Paulus tidak menghina kota itu. Dia tidak menghimpunkan sekumpulan orang untuk membuat sepanduk dan melaungkan, “Kami tidak suka berhala!” Dia juga tidak mencadangkan pembaharuan sistem keadilan atau cuba mempengaruhi sistem politik di Atena. Sebaliknya, kita membaca bahawa “dia berhujah,” kerana Paulus percaya bahawa kebenaran tentang Yesus yang sudah bangkit mempunyai “kuasa ilahi untuk meruntuhkan benteng-benteng” (2 Kor. 10:4)—benteng-benteng kefasikan—dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat, kota, dan negara.

Pemahaman teguh yang Paulus miliki tentang kebenaran Injil membuatnya berdukacita melihat pembohongan yang dipercayai oleh orang Atena, namun ia juga memberinya dasar untuk menanggapinya dengan iman dan bukan dengan kemarahan. Dia tahu bahawa Tuhan yang memanggilnya di Jalan Damsyik, walaupun dia orang “yang paling berdosa” daripada semua orang berdosa (1 Tim. 1:15), akan memanggil orang lain juga.

Seterusnya, Kisah Para Rasul 17:18–21 menerangkan bagaimana beberapa orang ahli falsafah Stoa dan Epikuros menunjukkan minat terhadap pemikiran Paulus dan membawanya ke pertemuan mereka di tempat yang dikenali sebagai Areopagus, atau Bukit Mars. Bahagian selebihnya dalam bab 17 ini menghuraikan usaha Paulus untuk meyakinkan mereka tentang kebenaran.

 

Mengisytiharkan “Tuhan Yang Tidak Dikenali” di Kota Yang Tidak Mengenal Tuhan

Paulus berdiri di tengah-tengah Areopagus itu lalu berkata, “Saudara-saudara orang Atena, aku lihat dalam semua hal saudara-saudara sentiasa ingat menyembah tuhan. Sedang aku berjalan-jalan sambil memerhatikan apa yang saudara-saudara sembah, di suatu tempat aku dapati suatu tempat korban yang ditulis begini: ‘Kepada Tuhan yang tidak diketahui.’ Tuhan yang saudara-saudara sembah tanpa mengetahui-Nya itulah yang hendak aku nyatakan kepada saudara-saudara.” (Kisah 17:22–23)

Ini adalah kata-kata pembukaan yang luar biasa! Paulus bermula bukan dengan menyerang para cendikiawan di Atena kerana mereka menyembah berhala tetapi dengan menunjukkan kepada mereka bahawa dia telah memerhatikan kota tersebut dan mempertimbangkan amalan-amalan mereka. Dia tidak bermula dengan mengutuk kejahilan mereka tentang Tuhan tetapi dengan menghormati komitmen mereka terhadap agama. Walaupun dia sedih dengan penyembahan berhala dan kejahilan mereka, dia tetap menghormati kebaikan yang ditunjukkan oleh orang Atena di sebalik dosa mereka.

Dalam Kisah Para Rasul 17:2, Lukas menunjukkan bahawa “seperti biasa” Paulus berbincang secara rasional di rumah ibadat: “menyatakan dan menunjukkan bahawa Kristus mengalami kematian dan kemudian bangkit daripada kematian; juga katanya, 'Yesus yang kusebutkan kepadamu inilah Kristus.'” Bagi orang-orang Yahudi yang saleh, yang mengetahui Kitab Suci, dan percaya kepada Tuhan Israel, Paulus berpendapat adalah lebih baik untuk bermula dengan janji-janji Kitab Suci tentang Sang Mesias dan betapa perlunya penebusan dosa.

Tetapi kepada orang Yunani di Atena, Paulus harus memberitakan Tuhan—sejauh mana yang mereka fahami daripada inskripsi buatan mereka sendiri—yang “tidak dikenali.” Sebelum dia mengutuk penyembahan berhala, dia harus memberitahu para pendengarnya tentang Tuhan yang membenci penyembahan berhala. Sebelum dia dapat mengutuk kejahilan mereka, dia perlu membantu mereka menyedari bahawa Tuhan ini patut dikenali. Dan sebelum dia memberitakan bahawa Sang Mesias telah menderita dan bangkit semula, dia harus memberitahu mereka bahawa mereka perlukan seorang Penyelamat.

Dalam budaya kita sendiri, yang dipenuhi dengan salah faham mendalam tentang Tuhan yang dinyatakan dalam Alkitab, kita harus mengikut dasar yang sama seperti yang Paulus lakukan. Dia melakukannya dalam lima langkah, mulai daripada penciptaan.

 

1) Tuhan Ialah Tuhan Yang Benar dan Sang Pencipta

“Allah yang menjadikan dunia dengan segala isinya ialah Tuhan langit dan bumi tidak tinggal di tempat sembahyang buatan manusia.” (Kisah Para Rasul 17:24)

Paulus bermula dengan merumuskan pandangan dunia yang sangat berbeza daripada pandangan para pendengarnya. Pengikut Epikuros percaya kepada alam semesta yang terjadi secara kebetulan, dan pengikut Stoa berpegang kepada sejenis falsafah determinisme yang buta. Dalam menghadapi falsafah-falsafah ini, Paulus pada dasarnya berkata, “Tuhan yang saya ceritakan kepada anda bukanlah Tuhan yang dapat dihadkan, dibendung, atau ditempatkan di rumah-rumah ibadat, kerana Dialah yang menciptakan segala-galanya di dunia ini.” Penting sekali bagi orang Atena untuk memahami bahawa Tuhan bukanlah seperti berhala-berhala mereka, yang merupakan sebahagian daripada dunia ini. Tidak, Tuhan yang Paulus nyatakan ialah Sang Pencipta alam semesta, dan karya ciptaan-Nya membawa implikasi penting bagi semua orang dan segala sesuatu.

 

2) Tuhan Ialah Pemberi Rezeki

“...dan tidak dilayani oleh manusia kerana Dia tidak kekurangan apa-apa. Malah Dialah yang memberi manusia hidup dan nafas serta segala-galanya.” (Kisah Para Rasul 17:25)

Kerana Tuhan ialah Sang Pencipta segala-galanya, maka Paulus berkata bahawa Dia tidak bergantung kepada kita, tetapi kitalah bergantung kepada-Nya. Dia bukan sahaja mencipta kehidupan tetapi memeliharanya. Dia layak menerima pujian bukan sahaja kerana menjadikan kita, tetapi Dia juga terus-menerus menjaga kita. Dia bukanlah seperti pembuat jam yang membiarkan ciptaan-Nya berjalan sendiri. Semua yang wujud, kata Paulus, terus wujud kerana Tuhan menghendakinya.

 

3) Tuhan Ialah Penguasa Berdaulat Atas Sejarah dan Manusia

“Daripada seorang manusia Dia menjadikan semua bangsa manusia yang menduduki seluruh muka bumi; Dia juga menetapkan masa dan daerah tempat mereka hidup. Masing-masing diharap mencari Allah, mudah-mudahan mereka menemui-Nya.” (Kisah Para Rasul 17:26–27)

Tuhan terus memelihara dunia yang Dia ciptakan, dan Dia jugalah yang berkuasa ke atasnya. Dia telah mengarahkan perjalanan sejarah dan batas-batas geografi turut bersaksi tentang diri-Nya. Paulus mungkin memberitahu orang Atena perkara yang sama seperti yang dia kemudiannya sampaikan kepada jemaah di Roma: “Apa yang dapat diketahui tentang Tuhan adalah jelas” kepada manusia, “kerana segala yang mungkin diketahui oleh manusia tentang Allah telah nyata bagi mereka; Allah sendiri telah menyatakannya kepada mereka. Sejak dunia diciptakan, sifat-sifat Allah yang tidak kelihatan, iaitu kuasa-Nya yang kekal dan keilahian-Nya, semuanya jelas ternyata serta difahami melalui segala ciptaan-Nya.” (Roma 1:19–20). Tuhan ingin dikenali, dan Dia telah memungkinkan kita untuk mengenali Dia.

 

4) Tuhan Ialah Bapa yang Pengasih

“Masing-masing diharap mencari Allah, mudah-mudahan mereka menemui-Nya. Dia tidaklah jauh daripada kita. ‘Kerana-Nya kita hidup, bergerak serta ada di dunia ini.’ Sebagaimana kata penyair bangsamu, ‘Kita ialah anak-Nya.’” (Kisah Para Rasul 17:27–28).

Sebenarnya, Paulus berkata bahawa Tuhan yang menciptakan kita, memelihara kita, dan memerintah hidup kita adalah jauh lebih mudah untuk dikenali daripada yang kita sedari. Kita bukanlah hanyut dalam ketidaktentuan, seperti yang dipercayai oleh pengikut Epikuros, dan hidup kita juga bukan ditentukan oleh nasib, seperti yang didakwa oleh pengikut Stoa. Kita ialah makhluk yang dicipta untuk mengenali dan mengasihi Pencipta kita. Hakikatnya, Tuhan sangat dekat dengan kita dan dari segi tertentu adalah wajar untuk memanggil-Nya Bapa kepada semua insan. Peranan kebapaan Sang Pencipta atas ciptaan-Nya ini berbeza daripada pengangkatan orang-orang percaya secara khusus melalui kasih kurnia yang Paulus catatkan di tempat lain, namun Tuhan juga “begitu mengasihi dunia ...” (Yohanes 3:16, penekanan ditambahkan). Namun seperti yang ditunjukkan oleh Paulus selanjutnya, kasih tersebut bukanlah tanpa halangan.


5) Tuhan Ialah Hakim yang Adil

“Oleh sebab kita keturunan Allah, tidak patut kita sangka keilahian-Nya seperti patung yang serupa dengan emas, perak atau batu yang diukir dengan kepandaian dan akal manusia. Allah membiarkan manusia melalui zaman kejahilan itu; tetapi sekarang Dia menyuruh manusia di seluruh dunia ini bertaubat; kerana Dia telah menetapkan bahawa pada suatu hari seisi dunia ini akan dihakimkan dengan adil oleh seorang yang ditentukan-Nya. Allah bersaksi akan hal ini kepada semua manusia dengan membangkitkan-Nya daripada kematian.” (Kisah Para Rasul 17:29–31)

Akhirnya, setelah meletakkan dasar dengan memberi kesaksian bahawa Tuhan ialah Sang Pencipta, Sang Pemelihara, Sang Penguasa Berdaulat, dan Sang Bapa atas seluruh umat manusia dan makhluk ciptaan, Paulus beralih kepada apa yang sering kita fikirkan terlebih dahulu apabila mendengar perkataan “Injil.” Di sini, untuk pertama kalinya, Paulus menghina penyembahan berhala dan kejahilan yang sangat menyedihkan hatinya. Orang Atena mungkin dapat mengikuti hujahnya sejauh ini, dan berkata, “Nah, itu adalah konsep yang menarik, Tuhan sebagai Sang Pencipta”—tetapi sekarang Paulus membawa mereka ke tempat di mana keputusan harus dibuat: Tuhan ini ialah hakim seluruh dunia, dan Dia memanggil semua orang di mana sahaja untuk bertaubat dan percaya, jika mereka tidak ingin menerima penghakiman. Dan kunci untuk memahami Injil dan untuk diubah olehnya, kata Paulus, adalah dengan memahami dan mempercayai Sang Mesias, yang telah dibangkitkan oleh Tuhan dari antara orang mati.

 

Mengisytiharkan Tuhan Yang Kita Kenali di Kota Kita Yang Tidak Mengenal Tuhan

Dua ribu tahun kemudian, keperluan terbesar dalam dunia kita masih sama seperti keperluan orang Atena dan jiran-jirannya. Jalan-jalan di kota kita dipenuhi dengan tempat-tempat pemujaan diri sendiri, materialisme, seks, hiburan, politik, dan “tuhan-tuhan” lain yang tidak terhitung jumlahnya. Berhala-berhala zaman kita tidak terlihat terutamanya dalam bentuk Buddha yang berperut besar di kaunter restoran ataupun dalam bentuk mantera yang diucapkan oleh sesetengah orang sambil mengamalkan rutin yoga melainkan dalam bentuk penyembahan diri. Isunya adalah, ramai orang memperbodohkan diri dengan menganggap mereka sendiri sebagai tuhan bagi diri mereka. Tetapi Tuhan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pesaing. Melainkan seseorang bersedia untuk turun dari takhtanya yang lemah, sujud di hadapan Tuhan yang hidup, dan melihat Yesus bertakhta di tempat yang selayaknya bagi-Nya, maka kesan agama dan khayalan budaya yang segera berlalu tidak akan membawa sebarang kedamaian. Orang Kristian, seperti Paulus, harus berasa dukacita dengan semua ini.

Tetapi seperti Paulus juga, kesedihan boleh dan seharusnya memacu pemikiran, perkataan, dan tindakan yang setia. Rasul Paulus menanggapi konteks Atena dengan berusaha memahami keadaan dan pandangan dunia mereka lalu menegur mereka berdasarkan pemahaman mereka. Oleh itu, khutbah Paulus di Bukit Mars bukanlah acuan untuk setiap usaha penginjilan yang kita miliki―memandangkan ia telah direka khas untuk para pendengar Paulus pada abad pertama. Tetapi ia pastinya membantu kita membayangkan bagaimana seseorang boleh mengongsikan berita baik tentang Yesus di dunia di mana Tuhan tidak dikenali. Kita juga perlu memahami apa yang dipercayai oleh rakan-rakan dan jiran-jiran kita, dan kita juga perlu mengisytiharkan siapakah Tuhan yang kita sembah sebelum kita memberi amaran tentang niat-Nya untuk menghakimi dosa dan sebelum kita mengisytiharkan belas kasihan-Nya dalam Yesus Kristus.

Secara amnya, versi khutbah Paulus di Areopagus pada abad kedua puluh satu dapat digambarkan seperti ini:

Teman-teman dan tetangga sekalian, saya dapat lihat bahawa anda semua sangat prihatin untuk melakukan perkara yang betul dan menjadi insan yang baik. Saya terdorong melihat anda begitu prihatin untuk menemukan tujuan hidup anda di dunia ini! Mungkin anda percaya bahawa andalah orang yang dapat menentukan tujuan itu—tetapi bolehkah saya bertanya sesuatu kepada anda? Jika anda jujur, bukankah anda akan berasa bahawa beban dan tanggungjawab itu kadang-kadang terasa terlalu sukar dipikul? Pernahkah anda merasakan bahawa ada sesuatu yang lebih berbaloi daripada mencari dan mengejar tujuan peribadi anda?

Nah, Alkitab memberitahu kita bahawa Tuhan yang menciptakan alam semesta dengan segala kemegahan dan keindahannya ialah Tuhan yang menciptakan anda. Dia juga memelihara anda—sama ada anda sedar atau tidak—melalui segala keadaan yang kelihatan rawak di dunia ini. Tambahan lagi, Tuhan Sang Pencipta ini mahu anda mengenali-Nya. Dia telah mengarahkan dunia dan sejarah sedemikian rupa sehingga membolehkan anda mengenali-Nya. Anda ialah anak-Nya kerana Dialah menciptakan anda, dan sebenarnya, Dia berada tidak jauh daripada anda. Satu-satunya perkara yang menjauhkan anda daripada-Nya ialah pemberontakan dan kekufuran yang merupakan sebahagian daripada sifat manusia yang memberontak, anda dan saya, sama seperti bernafas.

Anda perlu tahu bahawa Tuhan yang mencipta dan memelihara anda juga ialah hakim atas segala-galanya. Suatu hari nanti, Dia akan menghakimi dunia dan semua orang dengan keadilan yang sempurna. Jika itu kedengaran seram, itu reaksi yang munasabah! Tetapi inilah berita baik: dua ribu tahun yang lalu, Tuhan mengutus Anak-Nya, Yesus, untuk dilahirkan sebagai manusia, untuk menjalani kehidupan yang sempurna, dan untuk mati sebagai orang yang terkutuk di atas kayu salib, untuk membayar hukuman dosa―kemudian Tuhan membangkitkan Yesus daripada kematian untuk memberikan kita janji hidup kekal dalam Dia. Dan yang menakjubkan, jika anda bertaubat daripada dosa anda dan percaya bahawa Yesus telah mati dan bangkit untuk anda, Dia akan mengampuni anda, Dia akan menjemput anda ke dalam keluarga-Nya, dan Dia akan menunjukkan kepada anda tujuan hidup anda yang sebenar, untuk selama-lamanya.

Sudah tentu, tidak ada skrip yang paling sesuai. Paulus tahu, seperti yang harus kita tahu, bagaimana untuk berbicara dengan kata-kata yang senang difahami oleh para pendengarnya, bagaimana menangani kerinduan hati mereka yang terdalam. Untuk itu, kita tidak memerlukan buku panduan yang mengajar langkah-langkah mahupun arahan-arahan tertentu. Yang terutama yang kita perlukan hanyalah Roh Kudus yang berdiam dalam diri kita, yang menggerakkan kita untuk melihat orang lain seperti Paulus dan Yesus melihat mereka—dengan belas kasihan, seperti “sekawan domba tanpa gembala” (Mat. 9:36; Mrk. 6:34)—dan untuk menunjukkan kasih Tuhan dengan sewajarnya.

Tuhan telah memberi kita tanggungjawab untuk mengongsikan Injil-Nya kepada dunia yang tidak mengenali-Nya. Setelah kita menyampaikannya dengan jelas, sensitif, dan setia, kita dapat percaya, seperti Paulus, bahawa panggilan daripada Sang Gembala tidak akan gagal untuk menarik mereka yang menjadi milik-Nya (Yoh. 10:27).

Sanggupkah kita memenuhi tugas kita dan membuat Tuhan dikenali ramai?


 

Artikel ini diterjemah dan diadaptasi daripada khutbah berjudul “City of Idols — Part One and Part Two” oleh Alistair Begg.
Hak cipta @ 2025, Truth For Life. 

 

Artikel asal diterbitkan di https://blog.truthforlife.org/the-gospel-in-a-godless-city dan telah diterbitkan semula dengan kebenaran. 
返回博客