Apakah Peranan Roh Kudus dalam Kehidupan Kristian?

Apakah Peranan Roh Kudus dalam Kehidupan Kristian?

Terdapat banyak salahtanggapan lazim tentang peribadi dan pekerjaan Roh Kudus. Hubungan-Nya dengan orang Kristian sering diselubungi misteri, dan menyebabkan ramai yang keliru tentang tujuan-Nya dan mungkin juga takut akan pekerjaan-Nya. Syukurlah, Firman Tuhan menjelaskan pekerjaan Roh bagi mereka yang akan membacanya dengan rendah hati dan disertai doa.

Jadi, apakah hubungan Roh Kudus dengan orang Kristian? Ia adalah soalan yang mendalam dengan implikasi yang meluas.

Derek Prime menawarkan suatu definisi berguna sebagai panduan untuk pertimbangan kita selanjutnya:

“Roh Kudus ialah anugerah daripada Bapa dan Anak kepada orang percaya supaya Dia hidup dalam diri mereka: memberi kehidupan rohani; meyakinkan mereka bahawa mereka sudah diangkat sebagai anak-anak Tuhan; dan menzahirkan manfaat-manfaat daripada Injil kepada mereka.”

Kita dapat memahami hubungan Roh Kudus dengan orang percaya dengan melihat-Nya sebagai sumber, materai, dan kekuatan hidup kita.


Sumber Kehidupan Rohani

Sebagai permulaan, Roh Kudus ialah sumber kehidupan rohani bagi orang percaya yang berada dalam Kristus. Dengan kata lain, tanpa pekerjaan Roh, kita tidak akan ada kehidupan rohani sama sekali.

Kita dapat melihat peranan Roh yang memberi kehidupan melalui kenyataan yang diutarakan dalam Efesus 2:1–10. Paulus terlebih dahulu menegaskan bahawa manusia sudah mati secara rohani (ayat 1). Gaya bahasa dalam ayat ini mengingatkan kita tentang Adam dan Hawa di taman Eden: Tuhan telah memberi amaran, “Engkau bebas memakan daripada kesemua pokok di dalam taman ini; tetapi jangan engkau makan daripada pokok pengetahuan tentang perkara yang baik dan yang jahat kerana pada hari engkau memakannya, engkau pasti mati” (Kej. 2:16–17).

Kita tahu apa yang berlaku seterusnya: mereka makan daripada pokok itu, namun mereka tidak mati—tidak secara fizikal (3:6–7). Tetapi sebenarnya mereka mati secara rohani. Melalui dosa Adam, kematian merebak kepada semua orang (Rm. 5:12). 

Kematian rohani inilah yang dimaksudkan oleh Paulus dalam Efesus 2. Kita telah mati dalam dosa, terikat oleh nafsu dosa dan berada di bawah murka Tuhan (ay. 1–3). Inilah keadaan kita, dan tiada apa dari dalam diri kita yang boleh mengubahnya. Kitab Suci amat jelas tentang perkara ini: melainkan kita bertemu dengan Kristus dan percaya kepada Injil, kita akan mati untuk selama-lamanya dalam dosa kita.

Walau bagaimanapun, di sebalik berita buruk ini, terdapat berita baik dalam ayat 4: “Namun Allah, yang kaya dengan belas kasihan, kerana kasih-Nya yang amat besar kepada kita.” Tuhan menghidupkan kita secara rohani dalam Kristus. Itulah penyelamatan kita: Tuhan memberikan kita hidup yang sejati dan kekal dalam Anak-Nya (Yohanes 3:16).

Tetapi bagaimana dengan caranya?

Jawapannya adalah melalui Roh Kudus, yang merupakan sumber kehidupan rohani bagi orang percaya. Sesungguhnya, tunjang pengalaman orang Kristian dengan Roh Kudus terletak pada pekerjaan-Nya yang menuntun kita ke dalam hubungan yang hidup dengan Yesus Kristus.

Kitab Suci menggunakan perkataan “kelahiran semula” untuk menggambarkan peristiwa ini (lihat misalnya dalam Titus 3:5). Ia adalah perubahan serta-merta daripada kematian rohani kepada kehidupan rohani. Dan kelahiran rohani ini hampir menyerupai kelahiran kita secara jasmani, di mana ia menandakan permulaan kehidupan rohani kita yang baharu dalam Kristus. Tuhan, melalui Roh-Nya, terlibat secara peribadi dalam tindakan menghidupkan orang mati; Dia mengubah anak-anak yang sebelumnya berada di bawah murka-Nya untuk mengangkat mereka menjadi anak-anak-Nya.

Tidak kira sama ada kita dapat mengingati detik sebenar kita mengalami kelahiran semula atau tidak, inilah faktor yang menyatukan orang percaya di mana sahaja: kita tahu bahawa diri kita masih hidup hari ini kerana tanpa Roh Tuhan, kita tidak akan mempunyai kehidupan rohani. Kehidupan setiap orang Kristian harus memperlihatkan pelayanan Roh Kudus kerana “jika seseorang tidak ada Roh Kristus, dia bukanlah milik Kristus” (Rom. 8:9).


Materai Pemilikan Kristus

Selain daripada memberikan kita kehidupan rohani, Roh Kudus juga memeteraikan kesatuan kita dengan Kristus. Perkataan “dimeteraikan” muncul dua kali dalam Surat Efesus, dan kedua-duanya dalam konteks kelahiran semula:

Kamu juga dalam Kristus setelah mendengar kata kebenaran, iaitu Injil tentang penyelamatanmu. Dan dalam-Nya, setelah mempercayai-Nya, kamu telah dimaterai dengan Roh Kudus yang dijanjikan-Nya, yang menjadi jaminan bagi warisan kita hingga penebusan orang yang dimiliki Allah—segala puji bagi kemuliaan-Nya.
(Ef. 1:13–14)

Dan janganlah kamu menyedihkan Roh Kudus Allah yang telah memeterai kamu bagi hari penebusan.
(Ef. 4:30)

Apa yang digambarkan di sini? Secara ringkas, materai ialah suatu tanda pemilikan atau ketulenan. Ia melambangkan hak milik seorang. Raja-raja pada zaman purba mempunyai materai mereka sendiri pada cincin masing-masing untuk mengecop dokumen bagi mengesahkan keasliannya. Yang menariknya, ia adalah perkataan yang pada asalnya merujuk kepada alat pengunci, seperti yang kita baca dalam pemeteraian kubur Kristus (Mat. 27:66).

Paulus menggunakan bahasa kiasan yang kaya untuk menyampaikan kebenaran yang mendalam. Pelayanan Roh Kudus adalah bertujuan untuk memastikan kita hidup bersatu dengan Kristus. Melalui Roh, kita disahkan, diangkat sebagai anak-anak-Nya, dan dijamin dalam Kristus. Kita telah dimeteraikan.

Malangnya, ada kumpulan tertentu yang mengajar bahawa tidak ada jaminan sebenar dalam kehidupan Kristian. Kumpulan tersebut juga mendakwa kita tidak dapat memastikan bahawa kita adalah milik Kristus. Namun pandangan ini bertentangan dengan ajaran Alkitab, kerana pelayanan Roh adalah satu jaminan.

Apa yang dinyatakan oleh Kitab Suci? Kita tahu bahawa Tuhan tinggal dalam kita “kerana Dia telah mengurniakan Roh-Nya kepada kita” (1 Yohanes 3:24). Sama seperti anak-anak kecil yang tidak sabar-sabar menyambut kepulangan bapa mereka setelah kian lama, demikian juga Tuhan meletakkan dalam hati kita “roh yang menjadikanmu anak Allah. Dan dengannya kita berseru, 'Abba, Bapa.'” (Rom. 8:15). Tiada seorang pun di dunia ini yang dapat merampas jaminan yang telah diberikan oleh Roh dalam hati orang percaya yang sejati.

Namun di sebalik jaminan ini, orang percaya masih akan bergumul dengan keraguan (1 Yohanes 3:20). Kadang-kadang, kita mungkin mempersoalkan penyelamatan kita. Tetapi dengarlah kenyataan ini: keraguan mungkin menunjukkan betapa ikhlasnya keinsafan kita. Mereka yang masih belum insaf atau bertaubat tidak akan mempersoalkan kehidupan rohani mereka; kerana mereka tidak mempunyai kehidupan rohani untuk dipersoalkan! Fikiran mereka tertumpu pada kedagingan, dan mereka hidup memusuhi Tuhan secara terbuka dan sedang berada dalam perjalanan menuju kematian rohani (Rom. 8:7).

Jadi, apabila keraguan muncul, orang percaya dapat mengingatkan dirinya sendiri, “Keraguan ini juga dapat mengingatkan saya bahawa saya mempunyai kehidupan rohani.”

Dalam musim-musim keraguan, kita mungkin tergoda untuk berhenti membaca Firman Tuhan, untuk menyembah, dan untuk menghadiri persekutuan jemaah. Tetapi itulah perkara yang kita tidak patut dilakukan, kerana melalui perkara-perkara tersebut, Roh Kudus bekerja untuk memelihara kehidupan rohani kita. Sebagai materai hidup kita, Roh Kudus tidak akan meninggalkan kita sebagai anak yatim piatu; Dia akan memastikan kita berdiri teguh di tangan Kristus.


Kekuatan bagi Kehidupan Rohani

Teologi rasul Paulus mengenai Roh Kudus bukanlah sekadar doktrin; ia merupakan suatu pengalaman. Sebagai contoh, apa yang Paulus tegakkan sebagai kebenaran asas dalam Surat Efesus telah dipraktikkan olehnya secara nyata sewaktu dia mengarang Surat Filipi. Beliau menulis surat kepada jemaah di Filipi dari penjara yang suram. Dipenjarakan kerana Injil, Paulus menyatakan, “Kerana aku tahu bahawa ini akan membawa kepada penyelamatanku melalui doamu dan pertolongan Roh Yesus Kristus” (Flp. 1:19).

Apa yang Paulus lakukan ketika dipenjarakan? Dia bergantung pada Roh Kudus sebagai sumber kekuatan!

Selanjutnya dalam surat tersebut, Paulus menggesa para pembacanya untuk melakukan perkara yang sama: “...mengerjakan penyelamatanmu sendiri dengan takut dan gementar...kerana Allah yang bekerja dalam dirimu, menyebabkan kamu berkehendak dan menjalankan kerja untuk keredaan-Nya” (Flp. 2:12–13). Paulus mengakui bahawa semua orang percaya dapat merasakan ketidakcukupan secara peribadi. Semasa kita menjalankan tugas yang Tuhan berikan, kita tahu bahawa kita tidak dapat menyelesaikannya dengan kekuatan kita sendiri. Tetapi pada saat-saat tersebut, Paulus mahu kita beringat bahawa Tuhan sedang bekerja dalam kita. Melalui Roh-Nya, Tuhan menguatkan umat-Nya.

Dan pekerjaan Roh yang mengukuhkan orang percaya bukannya sekadar untuk individu tetapi juga untuk jemaah secara kolektif. Dalam Kisah Para Rasul 9:31, Lukas mencatat bahawa “Dengan demikian sejahteralah jemaah di seluruh Yudea, Galilea dan Samaria. Jemaah itu diberi kekuatan dan hidup dengan takut kepada Tuhan. Dengan pertolongan Roh Kudus bilangan mereka semakin besar.” Ringkasnya, gereja awal pada mulanya bertambah dalam bilangan dan kekuatan melalui campur tangan Roh Kudus secara langsung.

Adakah gereja pada hari ini bergantung pada Roh Tuhan untuk mendapatkan kekuatan?

Adakah gereja berjalan dengan sikap takut akan Tuhan, mempercayakan metrik pertumbuhan mereka kepada-Nya?

Ajaran Perjanjian Baru adalah jelas: Roh Kudus ialah sumber, materai, dan kekuatan bagi seluruh kehidupan rohani kita.


Dua Buah Jerat yang Perlu Dielakkan

Jadi, bagaimanakah rupanya kehidupan yang “melangkah… menurut Roh” (Gal. 5:16)? Kita boleh belajar daripada dua contoh negatif yang ditulis dalam Perjanjian Baru.

Contoh pertama muncul dalam surat Paulus kepada jemaah di Galatia.

Setelah memulakan kehidupan Kristian mereka dalam Roh, orang percaya di Galatia harus ditegur kerana mereka kemudiannya berusaha untuk mencapai matlamat melalui usaha manusiawi (Gal. 3:1–3). Dahulu, mereka mengerti bahawa Roh Kudus ialah sumber kehidupan mereka, materai mereka untuk selama-lamanya. Lalu mengapa, tanya Paulus, “sekarang kamu hendak menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani?” (ayat 3).

Contoh kedua datang daripada Tuhan Yesus dalam Matius 22.

Ketika berbicara dengan para pemimpin agama, Yesus mencabar kemunafikan dan mengutuk mereka kerana mereka tidak tahu Firman Tuhan mahupun kuasa Tuhan (ay. 29). Mereka semua bersandar pada hukum semata-mata, bergantung pada ritual dan bukan realiti. Walaupun mereka sangat intelektual, mereka tidak bertumbuh dalam pengalaman, kerana mereka menafikan kuasa Roh Tuhan yang tersedia untuk mereka.

Seperti jemaah di Galatia, sesetengah daripada kita tidak bergantung pada Roh Kudus dalam kehidupan Kristian melainkan pada usaha kita sendiri. Ada pula orang lain, seperti para pemimpin agama Yahudi pada zaman Yesus, memiliki pengetahuan akan kebenaran tetapi tidak pernah mengalami kuasa kebenaran untuk mendatangkan perubahan.

Ingatlah: kedua-dua pandangan ini merupakan jerat untuk dielakkan, yang membawa kepada kematian dan bukan kehidupan.

Apabila Tuhan, melalui Roh Kudus-Nya, memberikan kita hati yang baru (Yeh. 36:26–27), kita dapat berjalan dalam kekuatan Tuhan. Apabila itu berlaku, kita dibebaskan untuk berjalan―bukan dalam ketakutan dan ketidakpastian melainkan dalam keyakinan yang hanya dapat diberikan oleh-Nya.


 

Artikel ini diterjemah dan diadaptasi daripada khutbah berjudul “The Holy Spirit Seals and Strengthens” oleh Alistair Begg.
Hak cipta @ 2025, Truth For Life. 

 

Artikel asal diterbitkan di https://blog.truthforlife.org/what-is-the-holy-spirits-role-in-the-christians-life dan telah diterbitkan semula dengan kebenaran. 
返回博客