Menerima Pengampunan

Menerima Pengampunan

John Stott pernah menulis, “Pengampunan adalah sangat diperlukan untuk kehidupan dan kesihatan jiwa, sama seperti makanan untuk tubuh. Ramai orang menderita dari segi kesengsaraan jiwa kerana mereka telah menahan pengampunan atau kerana pengampunan  telah ditahan daripada mereka. Perkataan “Saya minta maaf” dan “Saya maafkan awak” amat sukar untuk diucapkan dengan ikhlas. Tetapi ini tidak sepatutnya berlaku kepada umat Tuhan! Sesungguhnya, kesediaan untuk mengampuni adalah salah satu tanda yang Yesus berikan kepada gereja-Nya untuk menunjukkan bahawa ia dikhususkan sebagai milik-Nya.

Tetapi Kitab Suci tidak hanya menyatakan, “Maafkan, atau sebaliknya!” Sebaliknya, ia mendasarkan pengampunan dalam realiti Injil, dan ia menunjukkannya dalam praktik kehidupan. Firman Tuhan juga penuh dengan contoh pengampunan sejati—contoh yang akhirnya menunjukkan kita kepada Tuhan Yesus sendiri.

 

Dari Yusuf kepada Yesus

Antara contoh pengampunan dalam Perjanjian Lama yang  menarik adalah Yusuf dan saudara-saudaranya yang terkandung dalam hujung kitab Kejadian.

Kita diberitahu bahawa Yusuf adalah anak kesayangan Yakub—dan saudara-saudaranya membiarkan rasa cemburu dan dendam mereka memuncak sehingga mereka bersedia untuk membunuhnya. Mereka bersetuju untuk menjualnya sebagai hamba dan memperoleh keuntungan daripada kejahatan mereka. Mereka tidak menjangkakan akan berjumpa dengannya lagi, dan mereka juga tidak mahu hal tersebut berlaku. Bagaimanapun, Tuhan mempunyai rancangan lain. Melalui beberapa hal yang berlaku, Dia menetapkan Yusuf sebagai penguasa utama Mesir, orang yang kedua paling berkuasa selepas Firaun. Sewaktu kebuluran melanda seluruh dunia pada zaman itu, saudara-saudaranya datang kepadanya untuk membeli makanan, tanpa menyedari siapakah dia.

Dengan memegang jawatan yang begitu berkuasa, Yusuf dengan mudahnya boleh memenjarakan saudara-saudaranya, memperhamba mereka, ataupun membunuh mereka. Sebaliknya, dia mendedahkan dirinya kepada mereka dan menghulurkan satu jemputan: “Datanglah lebih dekat kepadaku” (Kej. 45:4). Dia melihat tujuan Tuhan dilaksanakan walaupun dikhianati oleh saudara-saudaranya, dan Dia membalas dengan kasih karunia luar biasa. Selepas pendamaian sedemikian berlaku, bolehkah anda bayangkan saudara-saudara Yusuf menyimpan rungutan kecil, sama ada terhadapnya atau satu sama lain?

Namun belas kasihan Yusuf hanyalah bayangan pengampunan yang ditawarkan oleh Tuhan Yesus. Setiap dosa yang pernah kita lakukan merupakan kesalahan terhadap-Nya. Sewaktu kita menghadap-Nya, satu-satunya perkara yang boleh kita harapkan dengan munasabah adalah menerima penghakiman. Namun Dia menumpahkan darah-Nya yang berharga untuk membayar hutang dosa kita. Namun daripada menjatuhkan hukuman salah ke atas kita, Yesus telah berseru, “Sesiapa yang dahaga, datanglah kepada-Ku untuk minum” (Yohanes 7:37). Pengampunan-Nya adalah sebab kita dapat mendengar kata-kata tersebut dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Memandangkan semua yang telah kita terima dalam Kristus, bagaimanakah kita mungkin menahan pengampunan daripada mereka yang mencarinya? Dengan kesyukuran, orang berdosa yang diampuni mesti melakukan semua yang Tuhan membolehkan kita lakukan untuk mengampuni sesiapa yang bersalah terhadap mereka dan untuk mencari pendamaian. Apabila kita melakukan hal ini, kita mentaati teladan Tuhan kita, yang telah melakukan perkara yang sama untuk kita. Itulah sebabnya Paulus menasihati kita, “Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus” (Ef. 4:32).

 

Enam Kebenaran

Gereja harus dipenuhi dengan orang yang cepat mengampuni kerana mereka memahami betapa banyaknya mereka telah diampuni. Apakah yang menyemarakkan pengampunan luar biasa ini? Ia bermula dengan pemahaman enam kebenaran ini:

  1. Kita semua berhutang kepada Tuhan. Seperti yang Paulus katakan, “Kerana semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah” (Rom. 3:23). Kita semua telah gagal memenuhi tuntutan perbenaran Tuhan, dan kita semua telah melampaui batas-batas hukum moral-Nya.
  2. Tiada seorang pun daripada kita boleh membayar hutang sendiri. Tiada jumlah perbuatan baik yang dapat mengubah status kita sebagai orang yang berdosa di hadapan Tuhan. Itulah sebabnya Paulus berkata dalam Roma 3:20, “...tiada siapa pun akan diperbenar di mata Allah kerana mengamalkan hukum Taurat...” (AVB). Pembohongan agama luar ialah kita boleh dibenarkan dengan Tuhan melalui melakukan kebaikan. Tetapi kita tidak mampu mahupun boleh.
  3. Melalui korban penebusan Kristus, hutang telah dibayar untuk semua orang yang percaya kepada-Nya. Ini adalah Injil! Anda tidak dapat melakukan apa-apa untuk menerima pengampunan Tuhan. Anda tidak boleh! Anda hanya perlu menerimanya. Anda harus datang kepada Tuhan dan berkata, “Saya berhutang kepada-Mu kerana pemberontakan moral saya. Mulutku, tanganku, kakiku — saya najis di hadapan kekudusan-Mu. Tetapi saya tahu bahawa Engkau telah mati untuk membayar hutang saya dan membenarkan saya. Saya menerima hadiah-Mu.”
  4. Kita boleh mengalami jaminan pengampunan jika kita tidak sabar-sabar untuk mengampuni dosa yang telah dilakukan terhadap kita. Itu tidak bermakna sewaktu kita mengampuni seseorang, kita menerima pengampunan.
    Sebaliknya, apabila kita tidak sabar-sabar untuk mengampuni orang yang telah berdosa terhadap kita, itulah bukti bahawa kita mempunyai pemahaman kukuh tentang pengampunan yang mendalam yang telah kita terima.
  5. Kita boleh mengampuni orang lain kerana apa yang kita pernah berhutang kepada Tuhan adalah jauh lebih banyak daripada apa yang orang lain berhutang kepada kita. Jika kita tahu diri kita sebagai pendosa yang diselamatkan oleh kasih karunia, maka tidak ada kesalahan, tidak ada kejahatan yang dapat dilakukan orang lain terhadap kita yang dapat kita katakan, “Ini terlalu banyak. Saya tidak akan mengampuni.” Perangai sedemikian—tidak kira prospek perdamaian—tidak berasal dari apa-apa kecuali kuasa pengampunan Tuhan.
  6. Orang yang tidak mengampuni itu ditakdirkan untuk menerima hukuman kekal. Mereka yang secara konsisten tidak bersedia mengampuni orang lain menjelaskan bahawa mereka tidak pernah menerima pengampunan yang ditawarkan kepada mereka dalam Kristus. Orang yang tidak mengampuni mendedahkan diri mereka sebagai yang tidak diampuni.

 

Dua Soalan

Memandangkan semua yang telah disampaikan, kita mempunyai dua soalan yang harus dijawab.

Yang pertama ialah sama ada anda pernah datang kepada Tuhan sebagai respons kepada jemputan-Nya untuk menerima pengampunan. Sudahkah anda mengaku betapa besarnya hutang anda kepada Tuhan dan berseru memohon belas kasihan-Nya? Pernahkah anda mengaku bahawa Yesus adalah Tuhan dan percaya bahawa Tuhan telah membangkitkan Dia daripada kematian untuk keselamatan anda (Rom. 10:9)? Anda tidak perlu melafazkan doa yang panjang lebar. Anda tidak perlu menderma wang atau mendaftar untuk sebarang senarai e-mel. Anda hanya perlu mempercayai Dia dan dalam hati anda berkata seperti berikut: “Tuhan, saya telah berdosa terhadap-Mu, tetapi saya tahu bahawa Yesus telah mati dan bangkit semula supaya Engkau boleh mengampuni saya. Saya menerima pengampunan-Mu, dan saya ingin hidup dalam cahaya pengampunan tersebut.”

Soalan kedua adalah untuk mereka yang telah memohon keampunan Tuhan: Adakah anda secara serius mengambil langkah yang perlu untuk mengampuni orang lain? Kasih kita akan Tuhan dan orang lain terbukti dalam kesediaan kita untuk mengampuni. Jika anda menahan pengampunan daripada seseorang dalam hidup anda, pertimbangkan apa yang telah Yesus lakukan untuk anda, dan pertimbangkan sama ada anda benar-benar mempercayainya. Menawarkan pengampunan bukanlah senang, dan ia tidak cepat mahupun mudah. Tetapi ia perlu, dan ia mungkin. Renungi sedalam-dalamnya atas belas kasihan yang Tuhan telah tunjukkan kepadamu, dan lepaskan segala keluhan yang masih ada dalam dirimu. Pengampunan seperti ini, yang diberikan secara percuma dan berlimpah dalam kuasa Roh Tuhan, merupakan jalan ketaatan, jalan menuju ke arah sukacita, dan jalan sempit Tuhan Yesus Kristus kita.

 

 

Artikel ini diterjemah dan diadaptasi daripada khutbah berjudul “A Lesson in Forgivess” oleh Alistair Begg.
Hak cipta @ 2025, Truth For Life. 

 

Artikel asal diterbitkan di https://blog.truthforlife.org/embracing-forgiveness dan telah diterbitkan semula dengan kebenaran. 
返回博客