Siapakah Roh Kudus?

Siapakah Roh Kudus?

Subjek berkaitan dengan Roh Kudus telah menyebabkan ramai orang keliru. Memang, nampaknya lebih banyak perkara karut diperkatakan berhubung doktrin Roh Kudus berbanding hampir mana-mana doktrin Kristian yang lain. Jadi, jika kita ingin memahami identiti dan pekerjaan Roh, kita harus berhati-hati untuk melakukannya dalam rangka kerja dan di bawah kawalan ajaran Alkitab itu sendiri.

Syukurlah, Alkitab menyatakan banyak perkara tentang Roh Kudus. Walaupun tidak menyeluruh, tinjauan berikut tentang pengajaran Kitab Suci tentang Roh Kudus akan membantu membentuk pemahaman kita tentang siapakah Dia dan apa yang Dia lakukan.

 

Identiti Roh Kudus

Apabila kita semakin memahami siapakah Roh itu yang sebenarnya, kita dapat mula memahami siapakah Dia bagi kita dan apa yang Dia lakukan untuk kita. Ini kerana Roh Kudus ialah Tuhan, dan Dia membawa kehadiran dan kuasa Tuhan ke dalam hidup kita.

 

Peribadi yang Unik

Bukanlah di luar kebiasaan untuk mendengar orang memanggil Roh Kudus sebagai “itu” atau “ia” (dalam Bahasa Malaysia) dengan tanggapan bahawa Roh Kudus hanyalah suatu entiti. Tetapi Roh Kudus bukanlah kuasa atau pengaruh yang tidak memiliki peribadi. Sebaliknya, Dia ialah Peribadi ketiga dalam Tritunggal.

Satu lagi salah faham lazim mengenai Roh Kudus adalah tanggapan bahawa Dia ialah peribadi yang sama dengan Bapa dan Anak—bahawa hanya ada satu Peribadi Tuhan yang kadangkala tampil sebagai Bapa, kadangkala sebagai Anak, dan kadangkala sebagai Roh. Tetapi Alkitab dengan jelas menyatakan bahawa Bapa, Anak, dan Roh Kudus ialah tiga Peribadi yang unik. Sebagai contoh, dalam catatan Matius tentang pembaptisan Yesus, ketiga-tiga Peribadi hadir dan dibezakan: Yesus, Sang Anak yang menjadi manusia, dibaptis; Tuhan Bapa berfirman dari syurga; dan Roh Kudus turun mengurapi Yesus “seperti burung merpati” (Mat. 3:16–17). Ketiga-tiganya ialah tiga buah Peribadi yang berbeza dalam satu hakikat yang kekal, masing-masing bertindak menurut peranan masing-masing.

Memandangkan Roh Kudus ialah peribadi yang unik dalam Tritunggal dan bukannya suatu entiti, maka Alkitab berbicara tentang interaksi kita dengan-Nya. Kerana Roh Kudus ialah sebuah peribadi, maka Dia boleh dilukai (Ef. 4:30), kehendak-Nya boleh ditentang (Kis. 7:51), dan pekerjaan-Nya boleh dihalang (1 Tes. 5:19). Sifat keperibadian-Nya juga membolehkan kita berjalan bersama-Nya (Gal. 5:16) dan bersukacita dalam Dia (Luk. 10:21).

 

Satu dengan Tuhan Yang Maha Esa

Kesalinghubungan tiga Peribadi Tritunggal adalah misteri dan indah pada masa yang sama. Sama seperti Yesus adalah satu dengan Bapa (Yoh. 10:30), demikian juga Roh Kudus satu dengan Bapa dan Anak—sehingga Dia kadang-kadang dipanggil sebagai Roh Bapa (Mat. 10:20) dan “Roh Kristus” (Rom. 8:9). Alkitab mengatakan bahawa Dia sama-sama diutus oleh Bapa dan Anak (Yoh. 14:16; 15:26; 16:7). Dalam kata-kata Pengakuan Iman Athanasius, walaupun masing-masing ialah Peribadi yang berbeza, “ketuhanan Bapa, Anak, dan Roh Kudus adalah satu, kemuliaan mereka adalah sama, keagungan mereka sama-sama berkekalan.”

Kerana Roh Kudus adalah satu dengan Bapa dan Anak, maka kita boleh percaya bahawa Dia juga satu dengan Bapa dan Anak dalam tujuan. Berbicara tentang Roh yang akan datang, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Roh itu akan memuliakan-Ku, kerana Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu. Segala milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Maka itulah Kukatakan bahawa Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu” (Yoh. 16:14–15). Roh Kudus tidak bertindak atas kehendak-Nya sendiri. Apa yang Dia lakukan adalah kehendak ketiga-tiga Peribadi dalam Tuhan Tritunggal.

 

Agen Penciptaan

Dalam bab pembukaan Alkitab, kita dapati keperibadian tersendiri Tuhan Roh Kudus juga bekerja dalam penciptaan: “Bumi tidak berbentuk dan kosong; kegelapan menyelubungi permukaan samudera, dan Roh Allah melayang-layang di atas permukaan air” (Kej. 1:2). Ayat ini menggunakan frasa Ibrani ruakh ‘elohim untuk menggambarkan Roh Kudus sebagai “nafas Tuhan,” di mana di tempat lain, Alkitab juga menggambarkan-Nya sebagai pencipta dan pemberi kehidupan (Ayub 33:4).

Kerana Roh Kudus memiliki kuasa yang kekal untuk mencipta dan memelihara, maka kita tahu bahawa kehadiran peribadi-Nya adalah apa yang kita perlukan untuk terus hidup. Mazmur 104:29 berbicara tentang bagaimana makhluk ciptaan kembali menjadi debu apabila ia dipisahkan dari hadirat Tuhan. Tetapi kemudian dikatakan, “Engkau menghantar Roh-Mu, lalu mereka dicipta, dan Engkau membaharui muka bumi.” Roh ialah sumber kehidupan kita.

 

Pengarang Kitab Suci

Nafas Tuhan yang mencipta dunia juga memberi kuasa kepada para pengarang manusiawi untuk menulis Alkitab. Paulus berkata bahawa Kitab Suci “diilhamkan”— theópneustos—oleh Tuhan (2 Tim. 3:16), dan Petrus menulis bahawa Kitab Suci ditulis sambil manusia “dibawa oleh Roh Kudus” (2 Pet. 1:21). Pengarang-pengarang ini “menyampaikan kata-kata daripada Allah”, iaitu Roh Kudus.

Oleh kerana Roh Kudus mengambil bahagian dalam setiap langkah dalam penulisan Alkitab, kita boleh percaya bahawa Alkitab itu Firman Tuhan. Dan kerana Dialah pengarang Alkitab, kita juga perlu mempercayai-Nya untuk membantu kita memahaminya. Apa yang Alkitab katakan kepada kita sama seperti apa yang Tuhan katakan kepada kita, dan Dia sahajalah yang memiliki kata-kata hidup yang kekal (Yoh. 6:68). Adalah bijak untuk meneladani pemazmur dalam Mazmur 1, yang “bersukacita dengan hukum TUHAN, dan merenung hukum-Nya siang dan malam” (ayat 2).

 

Agen Ciptaan Baru

Roh Kudus yang mencipta dunia dan menghembuskan Firman juga mencipta kehidupan baru dalam diri orang percaya. Apabila Yesus mengajar Nikodemus tentang kelahiran semula, Dia mengenal pasti Roh Kudus sebagai agen bagi kelahiran rohani tersebut (Yoh. 3:5–6). Rasul Paulus juga berkata, “Dan jika Roh Dia yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian hidup dalam dirimu, maka Dia yang telah membangkitkan Kristus Yesus daripada kematian akan juga memberikan kehidupan kepada tubuhmu yang fana melalui Roh-Nya, yang hidup dalam dirimu” (Rm. 8:11). Tambahan lagi, Roh Kudus melakukan karya penebusan ini melalui Firman Tuhan, Firman yang diperkasakan-Nya, yang terbukti sebagai “hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang dua mata, ... mengenal antara fikiran dan niat dalam hati” (Ibr. 4:12).

Setiap orang percaya telah mengalami pekerjaan Roh yang menciptakan kehidupan baru. Ramai orang Kristian dapat mengerti pengalaman akan ketidakpastian tentang Tuhan, rasa tidak berminat dengan Tuhan, dan pengalaman menjalani hidup mereka tanpa Tuhan, tetapi kemudian mengenali-Nya, mengasihi-Nya, dan mengikut-Nya—suatu perubahan menakjubkan yang tidak ada sebarang penjelasan selain daripada pekerjaan Roh Kudus (Tuhan sendiri) yang membentuk manusia menjadi ciptaan baru. Apa yang dilakukan oleh Roh Kudus sebagai Peribadi yang Menciptakan Semula dan yang Menebus telah banyak diketengahkan dalam Alkitab dan merupakan bahagian utama daripada pekerjaan-Nya.

 

Pekerjaan Roh Kudus

Walaupun pekerjaan Roh Kudus terikat kepada setiap aspek identiti-Nya, kehidupan orang percaya yang diubah oleh sentuhan peribadi-Nya mendapat paling banyak perhatian daripada para pengarang Perjanjian Baru. Semasa Yesus sedang mempersiapkan para murid-Nya untuk kematian-Nya, janji tentang Roh Kudus yang akan datang adalah tunjang kepada kata-kata bimbingan, nasihat, dan dorongan-Nya kepada kedua belas orang murid-Nya (Yoh. 16:6–7). Yesus tahu bahawa pekerjaan peribadi Roh Tuhan akan menjadi kuasa yang akan mengubah semua orang percaya.

Oleh kerana pelayanan Roh Kudus disatukan dengan pekerjaan Tuhan Bapa dan Anak, maka Roh Kudus sentiasa memuliakan kedua-dua Bapa dan Anak. Karya penebusan yang dikerjakan-Nya adalah penebusan yang sama yang dikerjakan oleh Sang Anak melalui penumpahan darah-Nya.

 

Menginsafkan

Pertama, Roh Kudus bekerja untuk menginsafkan dunia tentang pemberontakannya terhadap Tuhan, seperti yang Yesus katakan kepada murid-murid-Nya: “Setelah Dia datang nanti, Dia akan menginsafkan dunia tentang dosa, perbenaran, dan penghakiman” (Yoh. 16:8). Kerana dunia telah menyimpang daripada kebenaran dan lalai dalam menghadapi kekekalan, maka Roh Kudus mendatangkan semula rasa bersalah ke dalam hati manusia supaya mereka boleh bertaubat. Roh Kudus membantu setiap individu untuk berkata, “Dunia bersalah kerana saya bersalah, dan saya memerlukan seorang Penyelamat untuk membebaskan saya daripada kesalahan saya.” Dialah yang memberi kuasa kepada manusia untuk menyeru nama Yesus Kristus dan diselamatkan.

 

Menasihati

Kedua, Yesus merujuk kepada Roh Kudus sebagai Penasihat, dan menjelaskan bahawa Dia akan datang kepada murid-murid-Nya, mengulangi semua yang Yesus telah ajarkan supaya mereka dapat mengisytiharkan kebenaran kepada dunia (Yoh. 14:26). Sama seperti Roh Kudus mengilhamkan Kitab Suci, demikian juga Dia menasihati kita apabila kita membacanya (Yoh. 16:13). Yesus mengajar manusia secara jasmani melalui firman-Nya yang diucapkan dengan lantang, tetapi Roh Kristus hidup dalam orang percaya dan menanamkan ajaran-Nya dalam hati mereka.

 

Membantu

Yesus juga mengajar bahawa sesiapa yang percaya kepada-Nya dan mengikuti-Nya harus mentaati-Nya: “Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintah-perintah-Ku, mengasihi-Ku” (Yoh. 14:21). Oleh itu, Roh Kudus bekerja dengan lebih daripada sekadar mengajar kita untuk memahami Firman Tuhan; Dia juga membantu kita untuk mematuhinya. Kita mungkin memiliki ajaran yang paling bagus, pemberitaan yang paling berani, dan teologi yang paling mantap, tetapi kita tidak akan berhasil bagi Tuhan melainkan Dia menggerakkan kita, membangunkan kita, dan memperlengkapi kita, kerana “jika seseorang tidak ada Roh Kristus, dia bukanlah milik Kristus” (Rom. 8:9). Dalam kelemahan daging kita, Roh Kudus menolong kita, membentuk kita selaras dengan gambaran Kristus (Rom. 8:26, 29).

 

Memuliakan Kristus

Akhirnya, peribadi dan pekerjaan Roh Kudus tidak dapat dipisahkan daripada peribadi dan pekerjaan Kristus. Ini kerana pelayanan Roh Kudus adalah satu dengan pekerjaan Bapa dan Anak, dan Roh sentiasa memuliakan Bapa dan Anak. Penebusan yang dikerjakan-Nya adalah penebusan yang sama yang dicapai oleh Sang Anak melalui darah-Nya: “Dengan menghantar Anak-Nya …,[Tuhan] berbuat demikian supaya kita dapat menunaikan kehendak-kehendak hukum dalam diri kita dengan sepenuhnya … mengikut kehendak Roh” (Rom. 8:3–4). Dan kerana “tiada siapa pun yang bersuara di bawah pimpinan Roh Allah akan berkata: 'Yesus terkutuk' dan tiada siapa pun dapat mengakui, 'Yesus ialah Tuhan,' kecuali di bawah bimbingan Roh Kudus" (1 Kor. 12:3), kita tahu bahawa di mana Kristus dikasihi, dipatuhi, diberitakan, dan ditinggikan, Roh Kudus sedang bekerja.

 

Pekerjaan Roh adalah penting untuk kesinambungan pertumbuhan kita dalam meneladani Kristus dan untuk pelayanan kita kepada Tuhan bagi kerajaan-Nya. Kita tidak dapat melakukan apa-apa untuk Tuhan melainkan Tuhan sendiri berdiam dalam kita dan memimpin kita. Sambil kita bertumbuh dalam pemahaman kita tentang Roh Kudus, marilah kita berdoa agar Roh Kudus memenuhi kita, menggerakkan kita, dan memperlengkapi kita untuk pekerjaan yang Tuhan telah berikan kepada kita.

 

Artikel ini diterjemah dan diadaptasi daripada khutbah berjudul “ The Holy Spirit” oleh Alistair Begg. 
Hak cipta @ 2025, Truth For Life. 

Artikel asal diterbitkan di https://blog.truthforlife.org/who-is-the-holy-spirit dan telah diterbitkan semula dengan kebenaran.  
Back to blog