Ya, Anda Harus Berdoa untuk Kekayaan. Tetapi Kekayaan Jenis Apa?

Ya, Anda Harus Berdoa untuk Kekayaan. Tetapi Kekayaan Jenis Apa?

Suatu hari nanti, anda dan saya akan menjadi sangat-sangat kaya.

Itu kerana kita mempunyai warisan yang menanti kita. Dalam Efesus 1:14, Paulus menyatakan bahawa Roh Kudus yang tinggal dalam umat Tuhan adalah “yang menjadi jaminan bagi warisan kita hingga penebusan orang yang dimiliki Allah.” Warisan kita sudah menjadi milik kita, tetapi kita belum menikmati kesemuanya. Masih banyak lagi yang menanti kita, dan kita akan menikmatinya apabila kita masuk ke dalam kemuliaan. Untuk menerima manfaat daripada harta pusaka keluarga, kematian harus berlaku. Selalunya, ini melibatkan kematian orang lain. Kemudian, barulah harta pusaka tersebut menjadi milik anda.

Oleh itu, Paulus berdoa agar anda dan saya mengetahui apa yang akan kita miliki dan alami suatu hari nanti: agar mata hati kita dibukakan untuk “mengetahui … limpah kemuliaan warisan-Nya dalam orang yang salih” (ayat 18).

Doa seperti ini jelas menjadi satu kebiasaan bagi Paulus. Dia turut berdoa dengan cara yang sama untuk gereja di Kolose agar mereka “diteguhkan dengan segala kekuatan berdasarkan [kuasa-Nya yang mulia], yang mendatangkan kesabaran dan kebahagiaan. Kita mengucapkan syukur kepada Bapa kita yang telah melayakkan kita menerima sebahagian warisan orang yang salih dalam cahaya” (Kol. 1:11–12). Penekanan ini bukan sahaja terdapat dalam surat-surat Paulus tetapi di seluruh Alkitab. Petrus juga memberi galakan kepada para pembacanya selari dengan pemikiran Paulus:

[Dia] telah mengurniai kita kelahiran baru dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian. Dengan demikian, kita hidup dengan harapan yang tidak akan binasa, dan kita mengharapkan warisan yang tidak mungkin reput, tercemar atau lenyap — disimpan untukmu di syurga. Kamu dipelihara dengan kuasa Allah, melalui iman untuk penyelamatan yang akan ternyata sepenuhnya pada akhir zaman. (1 Petrus 1:3–5)

Warisan anda akan kekal, kata Petrus. Ia tidak akan hilang atau mengecewakan. Ia akan berada tepat di tempat yang telah Tuhan rancangkan, bersedia untuk didiami pada hari apabila Tuhan, yang memelihara anda sepanjang perjalanan hidup anda, membawa anda ke destinasi itu.

 

Kita Mengenal Tuhan

Apa yang sangat baik tentang warisan ini? Mengapa ia begitu mengagumkan sehingga dapat memberi kita kegembiraan dan ketabahan dalam perjalanan menuju warisan kita, walaupun kita “mungkin berdukacita kerana menghadapi pelbagai cubaan” (1 Petrus 1:6)? Jawapannya ialah warisan itu sangat mulia, harta tersebut berkilauan, kerana warisan itu ialah Tuhan sendiri. Kita mengambil bahagian dalam apa yang Paulus namakan “limpah kemuliaan-Nya” (Ef. 3:16).

Apakah itu kemuliaan Tuhan? Kemuliaan Tuhan ialah jumlah dan inti bagi semua yang telah nyatakan-Nya kepada kita tentang diri-Nya, yang dapat difahami oleh akal fikiran kita yang terbatas, dan yang akan difahami oleh fikiran kita yang sempurna pada suatu hari nanti.

Jadi, sebagai contoh, kemuliaan Tuhan ialah keperkasaan-Nya, kewujudan diri-Nya, keagungan-Nya, keadilan-Nya, kebenaran-Nya, perbenaran-Nya, kekudusan-Nya, kemurnian-Nya… dan seterusnya. Kesempurnaan itulah yang kita lihat dinyatakan dalam Yesus sebagai manusia—Firman, yang telah menjadi manusia dan diam di antara kita supaya kita dapat berkata, “Kita telah melihat kemuliaan-Nya sebagai Anak Tunggal yang datang daripada Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran” (Yohanes 1:14).

Dan suatu hari kelak, mereka yang berada dalam Kristus akan melihat kemuliaan itu secara bersemuka, menikmatinya, dan memuji Dia untuk selama-lamanya. Dialah warisan kita.

Anugerah Tuhan yang paling besar kepada umat-Nya ialah diri-Nya sendiri. Kegembiraan terbesar di syurga ialah Tuhan. Itulah warisan yang sedang anda hampiri hari ini dalam perjalanan hidup anda. Paulus berdoa agar kita mengetahuinya dan menikmati prospek tersebut.

Sekali lagi, adalah mudah sekali untuk berfikir begini, “Hal ini nampaknya tidak begitu relevan dengan kehidupan seharian. Saya sedang mengharapkan sesuatu yang lebih praktikal daripada ini.”

Akan tetapi untuk berbicara tentang kekayaan kemuliaan Tuhan Bapa, Anak, dan Roh—keagungan dan kebesaran-Nya yang tiada tandingannya, kasih kurnia dan kebenaran-Nya—sebenarnya adalah asas terpenting bagi kehidupan anda, pekerjaan anda, hubungan anda, dan segala-galanya. C.H. Spurgeon telah menyampaikan pesan berikut kepada jemaahnya di London pada tahun 1855,

Adakah anda mahu membuang kesedihan anda? Adakah anda lemas dalam kebimbangan? Pergi, terjunlah ke dalam lautan Tuhan Yang Maha Esa yang terdalam; tenggelamkan diri dalam kebesarannya; dan anda akan keluar seperti dari tempat rehat, berasa segar dan bertenaga. Saya tidak tahu apa-apa yang lain yang dapat menghiburkan jiwa seperti ini; jadi sembuhkanlah bengkak kesedihanmu; ucapkanlah kedamaian ke atas badai yang bergelora, seperti orang yang asyik merenungkan perihal Ketuhanan.

Di sinilah tempatnya kita harus bermula. Anda boleh menghayati seberapa banyak buku panduan yang anda mahu. Anda boleh mencuba seberapa banyak langkah penyelesaian praktikal yang boleh anda temui. Tetapi bermula di sana adalah upama bermula dari hujung yang salah.

Hanya daripada Tuhan, dengan menerjunkan diri ke dalam kekayaan kemuliaan-Nya yang tidak terhingga, seperti yang kita lihat sebelumnya, dan daripada kelimpahan penyediaan-Nya serta dengan harapan hidup dalam kemuliaan-Nya yang penuh pada suatu hari nanti, barulah perkara-perkara lain akan menyusul mengikut urutannya.

Saya berdoa agar anda bersemangat dan berasa teruja setiap hari dengan prospek warisan anda yang mulia, kata Paulus. Tetapi ia tidak terhad kepada hal itu sahaja.

Warisan kita ialah Tuhan. Dan warisan Tuhan adalah… kita.

 

Tuhan Mengenal…. Kita?

Para pengulas Alkitab berbeza pendapat mengenai sifat “warisan” dalam Efesus 1:18 tersebut. Anda boleh membaca tentang warisan kita itu—iaitu, Tuhan. Dan anda juga boleh memahaminya sebagai warisan yang Tuhan telah sediakan untuk diri-Nya—iaitu kita. Walau bagaimanapun, tanggapan-tanggapan tersebut adalah seperti suatu situasi di mana setiap perkara ada dua sudut pandangan. Kedua-duanya bukanlah eksklusif. Tuhan mempunyai warisan dalam umat-Nya, dan kita mempunyai warisan dalam Dia.

Seperti melihat suatu situasi dari sudut pandang yang berlainan, Paulus merujuk kepada kenyataan bahawa Tuhan Bapa telah menjanjikan warisan kepada Tuhan Anak—dan warisan tersebut terdiri daripada semua orang yang berada dalam Kristus, yakni semua orang yang telah beriman kepada-Nya.

Nabi Maleakhi berbicara tentang hal tersebut seperti berikut:

Kemudian orang yang takut kepada TUHAN berbicara antara satu sama lain. TUHAN memperhatikan dan mendengarkannya, lalu sebuah kitab peringatan ditulis di hadapan-Nya bagi orang yang takut kepada TUHAN dan yang memuliakan nama-Nya. ““Mereka akan menjadi milik-Ku,” firman TUHAN alam semesta, “pada waktu Aku membuat mereka menjadi harta kesayangan-Ku. Aku akan menyayangi mereka seperti seseorang menyayangi anaknya yang menuruti perintahnya.” (Mal. 3:16–17)

Dan ketika menyeru umat Tuhan agar “Bergembiralah tentang TUHAN,” kerana “pujian daripada orang tulus” (Mzm. 33:1), penulis mazmur tersebut menyatakan,
Diberkatilah bangsa yang Allah mereka ialah TUHAN, mereka yang telah dipilih sebagai milik-Nya. (ayat 12)

Perjanjian Lama mengandungi gambaran tentang Tuhan yang memiliki warisan dalam umat-Nya.

Renungkanlah hal itu buat seketika. Kita dapat mewarisi Tuhan—suatu hal yang hebat; dan Tuhan dapat mewarisi kita—yang, sejujurnya, suatu hal yang aneh. Tuhan telah memilih untuk meluangkan masa selama-lamanya bersama… kamu! Dan saya! Dia mahu menikmati keabadian dengan ramai manusia yang telah ditebus dan diampuni-Nya, orang-orang yang pernah berbuat dosa.

Wahai orang percaya, Tuhan sangat teruja melihat anda. Anda tidak akan menyelinap masuk ke syurga melalui pintu belakang, di mana Tuhan hanya bertoleransi dengan anda. Anda akan dialu-alukan masuk melalui pintu depan, dengan penuh meriah, dan Tuhan akan menikmati anda seperti anda menikmati-Nya untuk selama-lamanya. Tuhan akan menikmati saat di mana umat-Nya berada di sekeliling-Nya demi anugerah-Nya. Dan anda akan menikmati sambutan dan pelukan-Nya.

 

Melihat Lebih Jauh Daripada Waktu Sekarang

Paulus berdoa agar kita “memahami” hal ini. Kita perlu mendoakannya untuk diri sendiri dan untuk orang lain. Kita tidak perlu melihat kepada masalah, kesilapan, penyesalan, dan kesedihan kita pada masa sekarang tetapi sepatutnya menantikan warisan masa depan kita. Kita memerlukan bantuan daripada Tuhan untuk melakukannya—untuk membuka mata hati kita dan berfokus pada masa hadapan yang menanti kita. Kita tentunya hidup pada saat ini. Kita tidak dapat melihat lebih jauh daripada masa sekarang. Dan selalunya, hari-hari ini adalah gelap. Dan kadang-kala, sesebuah hari ini mengandungi sedikit cahaya, iaitu perkara-perkara yang baik dalam hidup kita. Akan tetapi ia boleh hilang dalam sekelip mata; dan jika itu sahaja yang kita berikan perhatian, maka harapan yang kita ada hanyalah sementara, dan sukacita sangat sukar untuk dialami. Jadi Paulus mengajar kita untuk berdoa agar Tuhan membuka mata hati kita untuk melihat lebih jauh dan lebih jelas lagi, kepada warisan kekayaan kita yang abadi.

Wujud sukacita walaupun di tengah-tengah saat yang paling sukar dan wujud harapan pada masa yang paling gelap jika mata anda tertuju ke masa hadapan yang menanti anda. Mahukah anda akan berdoa agar Tuhan membantu anda menjalani kehidupan serta membuka mata hati anda untuk melihat warisan anda bersama Tuhan? Mahukah anda akan berdoa agar Tuhan melakukan hal tersebut bagi kenalan anda yang sedang bergelut dengan cabaran hidup? Dan mahukah anda akan berdoa agar Tuhan melakukan hal tersebut bagi kenalan anda yang sedang menikmati kehidupan yang baik? Berdoalah agar anda dan mereka menjadikan Tuhan sendiri wawasan hidup anda—agar menyatakan, menyanyikan, dan menghayati kebenaran yang besar ini:

Aku tidak perlukan kekayaan mahupun pujian kosong manusia; Engkaulah pusakaku, sekarang dan selamanya.

Kita sebenarnya lebih kaya daripada yang kita sedari. Dan suatu hari nanti dalam kemuliaan, kita akan menjadi jauh lebih kaya daripada yang dapat kita bayangkan. Kita akan hidup bersama dengan Tuhan.

Ya Bapa, semoga tabiat berdoa dalam hidup saya sentiasa menjadi petanda bahawa saya ialah salah seorang daripada anak-Mu. Engkau ialah Tuhan yang pemurah, yang memberkati saya sehingga berkelimpahan. Terima kasih buat kurnia-Mu yang terbesar, iaitu Engkau sendiri. Namun betapa mudah dan cepatnya saya melupakan-Mu dan memberi tumpuan kepada harta benda duniawi yang sementara. Firman-Mu mengajar saya bahawa jika manusia tahu bagaimana memberikan perkara yang baik kepada anak-anak mereka, maka lebih-lebih lagi Engkau akan memberikan kepada anak-anak-Mu semua yang kami perlukan, jauh melebihi yang layak kami terima (Mat. 7:11; Luk. 11:13). Terima kasih kerana salib telah membuktikan kebenaran ini kepada saya. Bantu saya pada hari ini untuk menghayati kebenaran ini. Dalam nama Kristus saya sungguh-sungguh berdoa. Amin.

 

Bahan ini telah diadaptasi secara ringkas daripada Pray Big oleh Alistair Begg, yang telah diterbitkan oleh The Good Book Company, thegoodbook.com. Digunakan oleh Truth For Life dengan izin. Hak Cipta © 2019, The Good Book Company.
Artikel asal diterbitkan di https://blog.truthforlife.org/pray-for-riches-but-what-kind dan telah diterbitkan semula dengan kebenaran.  
Back to blog