Mengapa Krismas Membuatkan Kita Menginginkan Lebih?

Mengapa Krismas Membuatkan Kita Menginginkan Lebih?

Beberapa hari antara Krismas dan Tahun Baru mengajar kita sesuatu yang mendalam tentang kerinduan jiwa kita. Kebiasaannya, kegirangan dan kegembiraan Hari Krismas seolah-olah berlalu dalam sekelip mata sahaja. Selepas menunggu sekian lama, kita seolah-olah berasa kekosongan selepas Krismas berakhir. Mengapa Krismas harus datang dan pergi begitu cepat?

Seorang pendeta dan ahli teologi bernama Sinclair Ferguson cukup jujur untuk mengenal pasti jangkaan Krismas yang tidak dipenuhi sewaktu beliau masih muda: “Ketika saya masih kecil, Krismas seolah-olah mati menjelang waktu tidur pada 25 Disember setiap tahun. Penantian itu rasanya panjang sekali; pengabulannya terlalu singkat. Saya juga cuba membungkus hadiah saya sekali lagi dan membukanya pada keesokan harinya.”1 Tetapi keajaiban itu tidak pernah kekal, kerana hari itu sendiri hanya mengarahkan kita kepada apa yang telah digambarkan oleh C.S. Lewis sebagai “keajaiban yang lebih dalam sejak sebelum permulaan dunia.”2

Krismas, iaitu musim perayaan dan keriuhan, membuatkan kita menginginkan lebih kerana hanya Yesus, Kristus bagi perayaan Krismas, yang benar-benar dapat memuaskan kerinduan yang terdalam di hati kita.


Kerinduan Hati Kita

Apabila ibu Yesus sendiri menyanyikan pujian kepada Tuhan sewaktu menjangkakan kelahiran Kristus, dia menyatakan, “Dia telah memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik” (Luk. 1:53). Walau bagaimanapun, gambaran ini bukanlah unik kepada Maria,; ia turut ditemui di seluruh Perjanjian Lama. Mazmur 107:9, misalnya, memberitahu kita bahawa Tuhan “memuaskan jiwa yang penuh kerinduan, dan mengenyangkan jiwa yang lapar dengan kebaikan”. Dalam mazmur yang sama, si pemazmur memberitahu kita bahawa “ada yang merayau di gurun” dan bahawa “lapar dan dahaga, jiwa mereka tidak bermaya” (ay. 4–5). Inilah keadaan kita tanpa Kristus: mengembara tanpa tujuan “di tanah gersang tandus tanpa air” (Mzm. 63:1). Tanpa Dia, kelegaan tidak terjangkau, dan ketenangan serta penghiburan merupakan suatu impian yang tidak akan tercapai.

Tidak ada insan yang hidup yang tidak pernah merasakan kehampaan harapan dan kerinduan yang tidak tercapai. Beginilah cara Tuhan mencipta kita: untuk mengingini dan merindui sesuatu yang jauh lebih besar daripada diri sendiri. Sudah tentu masalahnya adalah, kita berusaha memenuhi kerinduan itu dengan sesuatu yang berada di hadapan kita. Sesetengah daripada kita mengharapkan Krismas untuk memenuhi keinginan tersebut setiap kali kalendar berubah dari November ke Disember (atau mungkin lebih awal lagi!). Namun, Krismas sahaja tidak mencukupi. Kerinduan kita adalah lebih mendalam daripada sekadar suatu hari yang ceria atau minggu-minggu yang mengiringinya.


Hanya Tuhan Yang Dapat Memuaskan

Sebab utama mengapa sukacita musim Krismas tidak dapat memuaskan hati kita adalah kerana pusat kehidupan kita tercipta untuk Tuhan yang menjadikan Krismas itu bermakna. Jika kita cuba untuk hidup dan meraikannya tanpa-Nya—dan pastinya kita tahu tentang godaan untuk terjebak ke dalam demam membeli-belah pada musim ini!—tidak ada kegirangan musim cuti yang dapat mengisi kekosongan yang ada. Seperti yang diingatkan oleh Augustine, Tuhan telah mencipta kita untuk diri-Nya, dan hati kita tetap resah sehingga ia menemui ketenangan dalam Dia.3

Jadi, jika kita sangat memerlukan Tuhan, mengapa manusia tidak berpaling kepada Tuhan secara beramai-ramai, dengan berseru, “Ya Tuhan, puaskanlah kerinduan hatiku”? Jawapan ringkas untuk itu adalah sebelum Dia memperbaharui kita, seluruh hati kita sebenarnya memusuhi Tuhan. Fikiran dan keinginan semula jadi kita bukanlah untuk-Nya dan kemuliaan-Nya. Sebaliknya, seperti Adam dan Hawa di taman Eden, kita percaya kepada dusta, kita mengikut jalan sendiri, dan kita mencari kepuasan dalam segala hal lain selain daripada sumber kepuasan yang kekal.

David Wells menunjukkan bagaimana kelaparan rohani ini berlaku khususnya kepada golongan muda, yang sering bingung dengan rasa kekosongan yang mereka rasakan:

Harga diri mereka tinggi tetapi jiwa mereka kosong. Mereka membesar dengan diberitahu bahawa mereka boleh menjadi apa sahaja yang mereka mahu, tetapi mereka tidak tahu apa yang mereka mahu. Mereka tidak bahagia, tetapi nampaknya tiada sebab bagi ketidakbahagiaan mereka. Mereka lebih terhubung dengan lebih ramai orang melalui Internet, namun mereka malah berasa lebih sunyi. Mereka mahu diterima, namun mereka sering merasa terasing. Tidak pernah kita memiliki begitu banyak; tidak pernah kita mempunyai begitu sedikit.

Pastinya kerinduan seperti itu telah berkembang dalam dunia yang kini dihujani trend demi trend yang merentasi platform media sosial dan yang mampu “berhubung” melalui hanya beberapa ketikan pada skrin! Sudah tentu, setiap zaman telah memperlihatkan kebergantungannya kepada Tuhan dalam cara yang berbeza. Tetapi pada hari ini, walaupun kita mungkin berhubung dengan lebih ramai orang berbanding sebelum ini, kita semakin kekurangan keeratan hubungan yang kita perlukan—terutamanya dengan Peribadi yang telah menciptakan kita untuk diri-Nya sendiri.


Hati Baharu, Kerinduan Baharu

Kita tidak perlu meneliti sejarah manusia dengan mendalam, apatah lagi kehidupan kita sendiri, untuk melihat bahawa hati kita berpenyakit dan sudah hancur, dan memerlukan jauh lebih daripada segala yang dapat ditawarkan oleh dunia. Berita baiknya adalah: Tuhan sedang berkarya untuk mengubah hati kita, menawarkan kehidupan baharu kepada umat-Nya. Tetapi bagaimana Dia melakukannya?

Pertama sekali, Dia menerangi fikiran kita dengan kebenaran Injil (2 Kor. 4:4–6). Kita tidak perlu lagi berusaha dan bekerja keras agar diterima Tuhan, kerana dalam Kristus terdapat perbenaran yang telah diperhitungkan kepada kita yang percaya kepada-Nya (Rom. 3:22). Tuhan juga telah membebaskan hati kita daripada belenggu dosa. Dia telah menyucikan kerinduan kita yang keterlaluan terhadap perkara lain, dan Dia mendorong dan membolehkan kita untuk hidup dalam cahaya kebenaran Firman-Nya, untuk mengetahui bahawa, dalam Kristus, hukum-Nya adalah suatu jalan yang menuju kebebasan serta sukacita, dan bukannya suatu sekatan.

Dalam erti kata lain, Tuhan bekerja sedemikian rupa sehingga kita mula mengasihi apa yang Dia kasihi. Semua ini berasal daripada hati yang diubah oleh Tuhan, apabila Yang Maha Kuasa menggenapi janji-Nya untuk “[meny]ingkirkan hati yang keras daripada tubuhmu dan [meng]urniakan hati yang lembut kepadamu” (Yeh. 36:26).


Kelaparan yang Suci

Menurut lagu Maria, dalam tindakan ilahi yang ironik, Tuhan telah “memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik,” sedangkan “… orang kaya dihalau pergi dengan tangan kosong” (Luk. 1:53). Mereka yang tidak sedar akan keperluan diri, yang leka dan berkeras mengatakan, “Saya tidak lapar,” akan dihalau pergi oleh Tuhan. Tetapi kepada semua yang mengakui keperluan mereka, yang merasa lapar, Yesus menyatakan, “Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi” (Yoh. 6:35).

Musim Krismas menawarkan kita satu peluang yang indah untuk merenungkan inkarnasi dan “berita baik yang akan memberikan sukacita besar” (Luk. 2:10) yang menunjukkan anugerah Tuhan yang ajaib kepada kita. Namun, melainkan kita menyedari di manakah kerinduan jiwa kita seharusnya menemui penghujungnya—iaitu dalam Yesus Kristus Tuhan kita—perhiasan, kuih-muih, dan hadiah-hadiah Krismas hanya mampu memuaskan kita sedikit sahaja dan hanya untuk sementara.

Anehnya, terlalu mudah untuk terpandang lepas akan Cahaya Dunia di tengah-tengah segala lampu dan perhiasan musim Krismas ini. Oleh itu, Krismas adalah masa yang paling tepat untuk kita semua berkata sekali lagi, “Yesus, hanya Engkaulah satu-satunya yang dapat memuaskan hati saya. Saya ingin supaya Engkau datang dan melakukan hal itu untuk saya. Lebih daripada segalanya—lebih daripada hadiah-hadiah, lebih daripada pokok-pokok, lebih daripada makanan, lebih daripada kawan-kawan dan keluarga, lebih daripada kenangan manis—saya inginkan sukacita-Mu memenuhi dan menguatkan saya.” Mintalah daripada-Nya dengan iman, dan Dia pasti akan melakukannya.

 

Artikel ini diterjemah dan diadaptasi daripada khutbah berjudul “Anybody Hungry?” oleh Alistair Begg.
Hak cipta @ 2024, Truth For Life. 

 

Artikel asal diterbitkan di https://blog.truthforlife.org/why-christmas-leaves-us-wanting-more dan telah diterbitkan semula dengan kebenaran. 
Back to blog