Dalam siaran Krismas Raja George VI pada tahun 1939 kepada rakyat Britain, baginda membaca sebuah puisi yang ditulis oleh Minnie Louise Haskins
Aku berkata kepada lelaki yang berdiri di pintu gerbang pada tahun itu,
Aku berkata kepada lelaki yang berdiri di pintu gerbang pada tahun itu,
“Berikan saya cahaya supaya saya dapat melangkah dengan selamat ke tempat yang tidak diketahui.”
Dan dia menjawab: “Majulah dalam kegelapan dan letakkan tanganmu ke dalam Tangan Tuhan.
Hal tersebut lebih baik bagimu daripada cahaya dan lebih selamat daripada jalan yang diketahui.”
Walaupun kata-kata tersebut sangat bermakna bagi Raja George VI dan rakyatnya di tengah-tengah perang yang semakin memuncak dengan negara Jerman, kata-kata itu masih terngiang-ngiang di dalam hati dan fikiran lelaki dan wanita pada hari ini. Kita hidup dalam zaman yang sangat tidak menentu dan penuh kebimbangan. Sama ada konteksnya ialah geopolitik, ekonomi negara, pandangan dunia yang bertentangan, atau kehidupan keluarga kita sendiri, orang zaman ini sedang melangkah ke dalam kegelapan, mencari cahaya yang akan menunjukkan jalan kepada mereka.
Dalam Yohanes 3:19, dalam perbualan-Nya dengan Nikodemus, Yesus mengongsikan berita baik yang kita raikan sewaktu musim Krismas: “Cahaya sudah datang ke dalam dunia.” Dan sifat cahaya bukanlah suatu falsafah. Ia bukan ideologi politik. Ia bukan sentimen atau konsep. Cahaya itu ialah seorang peribadi: Yesus Kristus. Tuhan, dalam kasih-Nya, mengutus Yesus ke dunia untuk menerangi jalan kita ke hadapan, memimpin kita keluar dari dunia kematian dan ke dalam kehidupan bersama-Nya.
Yesus adalah cahaya yang melalui-Nya kita dapat melihat. Atau, untuk menggunakan metafora Haskins, Dia adalah tangan Tuhan yang dihulurkan kepada kita—lebih baik daripada cahaya yang mungkin ditawarkan oleh dunia ini. Maka, bagaimanakah kita dapat mencerminkan cahaya-Nya dalam dunia yang gelap ini? Mari kita pertimbangkan jawapan yang diberikan oleh Yesus sendiri.
Manusia Suka Akan Kegelapan
“Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat. Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah.” (Yohanes 3:19–20 AVB)
Sebelum kita dapat memahami keindahan dan kuasa cahaya Kristus, kita harus terlebih dahulu memahami apa yang memisahkan cahaya-Nya daripada kegelapan di sekeliling.
Bukanlah perkara biasa bagi pencuri untuk memanggil dari halaman yang gelap, “Maaf, bolehkah anda menghidupkan lampu sorot? Saya mahu merompak rumah anda!” Mereka adalah pencuri. Mereka melakukan pekerjaan mereka dalam keadaan gelap. Perkara paling buruk yang boleh berlaku kepada mereka adalah lampu yang menyala dan mendedahkan mereka. Begitu juga, Alkitab menyatakan bahawa di luar Kristus, kita hidup dalam kegelapan (Efesus 5:8; 1 Petrus 2:9).
Kegelapan pada zaman kita didedahkan melalui pelbagai cara, dan pastinya dalam aspek kekeliruan intelektual dan penyelewengan moral. Apabila orang mendengar Yesus berkata, “Cahaya telah datang ke dalam dunia,” ramai yang menjawab, “Itu sangat menarik, tetapi saya mempunyai pandangan saya sendiri. Saya memiliki cahaya lain sebagai panduan, dan cahaya itu sebaik mana-mana cahaya lain.” Pada hari ini, ada yang beranggapan bahawa sebarang kepercayaan adalah sah selagi ia bermakna bagi seseorang. Mereka percaya tidak ada kebenaran yang objektif atau kekal; yang ada hanyalah apa sahaja yang dipilih oleh setiap individu untuk dirinya sendiri. Dan jika tidak ada kebenaran yang kekal, maka tidak ada standard moral yang mutlak, jadi adalah tidak patut bagi kita untuk tidak bersetuju dengan orang yang hidupnya menampilkan “diri sejati” mereka—apa pun hasilnya.
Kita tidak perlu menunjukkan contoh yang paling keji—perkauman, penyelewengan awam, penyelewengan seksual, atau keganasan secara terang-terangan—walaupun contoh-contoh tersebut sering muncul. Hakikatnya, masyarakat kita terlalu biasa dengan kegelapan sehingga kita sering tidak sedar bahawa lampu sudah terpadam. Seperti yang ditulis oleh C.S. Lewis, kejahatan besar sering “dibayangkan dan dirancang … di pejabat yang bersih, berkarpet, selesa, dan terang, oleh lelaki pendiam yang memakai kolar putih dan yang kukunya dipotong rapi serta pipinya dicukur licin, yang tidak perlu meninggikan suara mereka. ” Jika kita diberi keupayaan untuk melihat kegelapan, kita akan menyedari bahawa ia bukan hanya hadir dalam perkara yang jelasnya buruk yang telah berlaku. Ia berada di dalam hati kita sendiri. Ia adalah sifat semula jadi yang menyatakan, “Saya bertanggungjawab ke atas diri sendiri.” Dan ia berakar umbi dalam setiap orang—walaupun dalam diri orang yang paling “benar”.
Dalam kisah kelahiran Yesus, Herodes membenci idea tentang seorang kelahiran seorang raja kerana dia mahu menduduki takhta tersebut seorang diri. Dalam catatan Injil, orang Farisi menolak Mesias kerana mereka mempunyai cara tersendiri untuk memperoleh penyelamatan. Dua ribu tahun kemudian, kita menolak Sang Raja-Mesias atas alasan yang sama. Kita mahu memberi kata putus atas kehidupan sendiri, dan oleh itu kita menyerahkan cinta kita kepada kegelapan, meskipun semuanya disertai oleh ketidakpastian dan huru-hara. Melainkan Tuhan mengubah hati kita, perkara terakhir yang kita mahu adalah memegang tangan yang akan membawa kita keluar dari kegelapan menuju ke arah cahaya.
Tuhan Harus Memimpin Kita kepada Cahaya
“Tetapi orang yang berbuat benar merapati cahaya, supaya jelas bahawa perbuatannya dilakukan melalui Allah.” (Yohanes 3:21 AVB)
Jika anda pernah duduk membaca buku dengan lama di dalam bilik ketika hari semakin senja dan cahaya matahari semakin pudar, anda mungkin pernah mengalami pengalaman di mana seseorang berjalan masuk lalu berkata, “Gelapnya bilik ni!” Dan anda mungkin menjawab, “Saya tidak perasan! Saya terlalu asyik membaca buku.” Pekerjaan Roh Tuhan umpama orang yang masuk ke dalam hidup kita dan berkata, “Sangat gelap di sini.” Secara semula jadi, kita tidak sedar bahawa ia gelap. Secara umum, kita fikir bahawa semuanya baik-baik sahaja, kerana hanya itulah yang kita tahu. Tetapi hanya selepas kita menyedari bahawa ia gelap, barulah kita boleh mendekati cahaya.
Mesej Krismas sepatutnya memberi harapan. Tetapi jika ia adalah untuk memberi harapan, ia harus lebih daripada sekadar perasaan sentimental. Harapan adalah bertunjangkan kebenaran. Jika kita berpegang pada harapan sewaktu kita melihat ke dalam kegelapan dalam tahun yang mendatang, maka tujuan kita untuk kehidupan kita sendiri tidak akan membawa banyak kebaikan. Kita tidak dapat menjadikan sesuatu itu benar hanya dengan mempercayainya, dan kita tidak dapat memperbetulkan sesuatu hanya melalui keinginan. Jika kita ingin berpegang pada harapan, kita harus mendengar suara yang berbicara kepada hati kita dan berkata, “Sangat gelap di sini.” Kemudian, kita harus memandang “cahaya yang benar” yang telah datang ke dalam dunia (Yohanes 1:9).
Dunia berada dalam kegelapan kerana keinginan semula jadi kita bukan lagi untuk hidup menurut tujuan sebenar Pencipta kita. Dengan kata lain, kita tidak dilahirkan dengan keinginan “untuk memuliakan Tuhan dan menikmati-Nya selama-lamanya.” Namun Tuhan mengutus Anak-Nya ke dunia untuk memulihkan manusia kepada kebenaran. Firman yang kekal telah menjadi manusia dan hidup di antara kita, dan kemudian Dia mati untuk kita, menanggung hukuman atas semua kesalahan kita. Apabila Dia bangkit semula daripada maut, Dia membuka jalan supaya kita dapat mengikut-Nya ke dalam kehidupan baharu bersama Tuhan begitu kita hidup dalam pengharapan akan kebangkitan. Dan Dia telah mengutus Roh-Nya untuk mendiami kita, yang memungkinkan kita berjalan dalam kuasa Tuhan.
“Letakkan Tanganmu di Tangan Tuhan”
Yesus datang ke dunia untuk mengubah kita dengan memimpin kita keluar dari kegelapan pembohongan hidup mementingkan diri sendiri dan masuk ke dalam cahaya tujuan Tuhan yang sebenar. Dan ini menuntut respons peribadi serta perubahan hidup: Percayalah kepada Yesus Kristus untuk mendapatkan jaminan pengampunanmu daripada Tuhan dan untuk memimpin anda dalam perbenaran demi kemuliaan-Nya. Lepaskanlah kawalan diri atas kehidupanmu sendiri, dan jadikanlah Dia Tuhanmu.
Kematian Yesus di kayu salib telah memungkinkan pengampunan. Secara semula jadi, kita berfikir bahawa kita tidak memerlukan Dia. Tetapi pada hari ini, sekiranya Roh Tuhan berbicara kepadamu seperti ini, “Tahukah kamu? Sangat gelap di sini. Datang dan berjalanlah dalam cahaya Kristus,” jangan abaikan jemputan itu. “Letakkan tanganmu di Tangan Tuhan.” Dia akan membuktikan diri-Nya jauh lebih baik daripada yang terbaik yang dunia ini tawarkan.
Artikel ini diterjemah dan diadaptasi daripada khutbah berjudul “The God Who Is There” oleh Alistair Begg.
Hak cipta @ 2024, Truth For Life.