Pada musim seperti ini, orang Kristian sering bertanya soalan seperti ini: Dalam zaman kita yang semakin sekular ini, bagaimanakah kita dapat mengekalkan nilai sebenar, makna sebenar Hari Krismas?
Untuk menjawab soalan ini dengan benar, pastinya kita harus terlebih dahulu tahu mengapa kita menyambut perayaan ini. Dan untuk itu, kita hanya perlu melihat kenyataan-kenyataan dalam Injil yang ringkas namun sangat mendalam:
...malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata, "Hai Yusuf, anak Daud! Janganlah takut mengambil Maria sebagai isterimu kerana anak di dalam kandungannya adalah daripada Roh Kudus. Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Yesus. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka” (Matius 1:20–21 AVB).
Malaikat itu berkata kepada mereka, "Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan” (Lukas 2:10–11 AVB).
Teks-teks ini membawa kita terus kepada nadi Hari Krismas: kedatangan Kristus Tuhan kita yang sekian lama dinantikan. Dua ribu tahun yang lalu, Tuhan sendiri, Firman yang kekal, “menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita” (Yohanes 1:14 AVB). Kita tidak seharusnya memandang mudah realiti mulia ini tetapi sebaliknya menghayati keajaiban inkarnasi dan merayakannya dengan sepenuh kegembiraan yang selayaknya! Tetapi kita juga harus ingat bahawa peristiwa Krismas bukanlah tujuan akhirnya — inkarnasi adalah permulaan, bukannya titik akhir.
Dengan pengertian ini, mari kita bersama-sama mempertimbangkan empat sebab bagi kedatangan Kristus yang pertama dahulu.
1. Yesus Datang untuk Menghapus Dosa-Dosa Kita
Injil Matius menunjukkan kepada kita kebenaran bahawa Yesus datang untuk “menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka” (1:21 AVB). Demikian juga, dalam Injil Yohanes ketika Yesus memulakan pelayanan-Nya di bumi, Yohanes Pembaptis mengumumkan, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia!” (1:29 AVB). Paulus menambahkan pernyataan yang lebih sistematik berikut dalam wacana agungnya kepada jemaah di Roma: “Allah telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita dengan demikian: Ketika kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita” (Roma 5:8 AVB).
Dalam lingkungan budaya kita yang lebih luas, gambaran mengenai Yesus dalam palungan di Betlehem biasanya membangkitkan rasa sentimental dan perasaan tenang serta kasih. Sudah tentu, Krismas adalah waktu untuk menikmati perasaan indah seperti itu. Akan tetapi ia juga adalah lebih daripada itu. Seperti yang Yesus katakan kepada Zakheus dalam Lukas 19:10 (AVB), “Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang hilang.”
Inilah misi bagi kedatangan Kristus, yang tercapai pada kayu salib, di mana Dia menyerahkan diri-Nya bagi umat-Nya. Maka, Krismas sebenarnya adalah tentang kasih yang ditunjukkan oleh Yesus di atas kayu salib, kerana “Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya” (Yohanes 15:13 AVB). Matlamat Hari Krismas ialah Hari Jumaat Agung, Hari Sabtu Kudus, dan Hari Ahad Kebangkitan, apabila Kristus menang sepenuhnya atas kematian, memberikan pukulan maut kepada kematian, dan membuka jalan menuju pendamaian dengan Tuhan.
2. Yesus Datang untuk Memusnahkan Pekerjaan Iblis
Dalam inkarnasi-Nya, Juruselamat kita datang bukan sahaja untuk mengalahkan maut tetapi juga “untuk membinasakan pekerjaan Iblis” (1 Yohanes 3:8 AVB). Kedatangan Kristus di Betlehem adalah tanda permulaan bagi pengakhiran pekerjaan Iblis dan semua jalannya.
Nah, kita harus ingat bahawa Iblis masih aktif dan hidup, walaupun dia telah ditentukan akan gagal sejak mula (Kejadian 3:15). Petrus mengingatkan kita, “musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa” (1 Petrus 5:8 AVB). Namun, walaupun dia masih berkeliaran, Iblis telah dirantai. Dia mungkin berang dan mengaum dan cuba mencengkam kita, tetapi Kristus telah datang untuk memusnahkan pekerjaannya.
Yohanes memberi jaminan kepada kita bahawa “sesiapa yang lahir daripada Allah tidak melakukan dosa berterusan; Dia yang datang daripada Allah melindungi dirinya lantas Iblis tidak berupaya menyesatkannya” (1 Yohanes 5:18 AVB). Peribadi yang “datang daripada Allah,” Yesus Kristus, akan melindungi mereka yang datang selepas Dia. Pada akhirnya, walaupun Iblis memperdaya, menuduh, berdusta, dan menghalang, dia tidak dapat menyentuh kita. Masanya hampir tamat. Kemusnahannya yang muktamad adalah terjamin (lihat Wahyu 20:10).
3. Yesus Datang untuk Menyatakan Bapa
Kedatangan Yesus di Betlehem adalah umpama tindakan Tuhan mengambil berus lukisan dan melukis potret diri-Nya merentasi kekekalan dan ke dalam permandangan waktu. Kita tidak perlu lagi tertanya-tanya bagaimanakah rupa Tuhan; sebaliknya, kita dapat memandang “kemuliaan Allah di wajah Yesus Kristus” (2 Korintus 4:6 AVB). Seperti yang dikatakan oleh Injil Yohanes, walaupun “Tiada siapa pernah melihat Allah,” Yesus Kristus “telah menyerlahkan-Nya” (Yohanes 1:18 AVB). Dia bukan sahaja Firman yang berinkarnasi (1:14) tetapi juga merupakan mesej terakhir daripada Tuhan kepada dunia — Firman-Nya yang muktamad, Anak-Nya yang satu-satunya yang melalui-Nya “Allah telah berfirman” (Ibrani 1:2 AVB).
Alangkah menakjubkan bahawa bayi Yesus ini, yang menyusu di dada ibu-Nya dan digoyang-goyangkan ketika tidur dalam pelukan bapa duniawi-Nya, ialah Yang Ilahi dan kekal Ilahi sepenuhnya! Dia kelihatan seperti bayi yang tidak berdaya dan menggeliat, tetapi Dia ialah Anak Tuhan, yang kini dimuliakan di syurga dan memerintah atas segalanya. Walaupun Dia menangis seperti bayi-bayi lain dan hanya seberat beberapa kilogram dalam palungan, pada akhirnya Dia menyatakan dengan kekuasaan mutlak, “Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa” (Yohanes 14:9 AVB). Yesus Kristus, sepenuhnya Tuhan dan sepenuhnya manusia, telah datang untuk menyatakan Tuhan kepada dunia.
4. Yesus Datang untuk Mempersiapkan Kedatangan-Nya Yang Kedua
Akhir sekali, Tuhan Yesus Kristus datang bukan sahaja untuk menghapuskan dosa-dosa kita, untuk memusnahkan pekerjaan Iblis, dan untuk menyatakan Tuhan Bapa tetapi juga untuk mempersiapkan kedatangan-Nya yang kedua.
Yohanes menulis, “Sahabat-sahabat yang kukasihi, sekarang ini kita anak-anak Allah, tetapi belum nyata bagaimana keadaan kita kelak. Tetapi kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti-Nya, kerana kita akan melihat-Nya dalam keadaan-Nya yang sebenar” (1 Yohanes 3:2 AVB). Sama seperti umat Tuhan menantikan kedatangan-Nya yang pertama, demikianlah sekarang dengan penuh semangat kita menantikan kedatangan-Nya kali yang kedua. Di antara waktu dua kedatangan ini, Yesus telah pergi untuk mempersiapkan suatu tempat bagi kita. Dia berkata, “Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada” (Yohanes 14:3 AVB). Dan apabila Dia kembali, Yesus akan datang “Kepada mereka yang menunggu-Nya dengan penuh pengharapan... bukan untuk menanggung dosa tetapi untuk menyelamatkan mereka” (Ibrani 9:28 AVB).
Perjanjian Baru bergema dengan jaminan Injili yang besar ini, yang merupakan sebuah aspek penting dalam mesej Krismas sepertimana palungan di tempat kelahiran Yesus di Betlehem. Jika Yesus Kristus tidak datang kembali, maka sebahagian besar daripada Perjanjian Baru telah membohongi kita; para malaikat adalah salah, dan Yesus adalah tidak lebih daripada seorang guru palsu. Tetapi kebenarannya yang mulia adalah, sepasti kedatangan pertama-Nya dalam kerendahan dahulu, demikianlah Dia akan datang dalam kekuasaan dan kemuliaan yang mengagumkan pada kali yang kedua nanti.
Adakah Kamu Bersedia?
Oleh itu, mengapa Yesus datang ke dunia? Untuk menghapuskan dosa-dosa kita. “Sekalipun dosa-dosamu seperti kain merah tua" dan “merah seperti merah tua,” sudahkah semuanya menjadi putih seperti salji dan bulu domba kerana dibersihkan oleh kuasa Kristus (Yesaya 1:18)?
Mengapa Yesus datang ke dunia? Untuk memusnahkan pekerjaan Iblis. Adakah kamu hidup dalam cahaya kemenangan itu?
Mengapa Yesus Kristus datang ke dunia? Untuk menyatakan Tuhan Bapa. Adakah kamu mengenal Bapa? Adakah kamu semakin mengenali Tuhan setiap hari?
Mengapa Yesus Kristus datang ke dunia? Untuk mempersiapkan kedatangan-Nya yang kedua. Adakah kamu bersedia menghadapi kedatangan-Nya? Apabila Dia melihatmu, adakah Dia akan memegang kamu di tangan-Nya dan berkata, “Wahai sahabat,” atau adakah Dia akan berkata, “Aku tidak pernah mengenalmu; nyahlah dari sini”? (Matius 7:23 AVB).
Pada musim-musim perayaan, ketika kita bertungkus lumus mempersiapkan makanan, perhiasan, majlis, dan hadiah, rakan-rakan atau saudara-mara mungkin bertanya kepada kita, “Adakah kamu bersedia menyambut Hari Krismas?” Itu adalah soalan yang jujur. Tetapi sekarang, dalam cahaya pewahyuan diri Tuhan, kita sedikit lebih bersedia untuk menjawabnya dengan bersungguh-sungguh:
Ya, saya bersedia. Yesus telah membasuh saya, menyelamatkan saya, menjadikan saya manusia baharu. Kehidupan baharu yang saya miliki dalam Dia tidak akan pernah pudar. Dan sekarang harapan Krismas telah tumbuh menjadi penantian yang penuh semangat bagi kedatangan-Nya yang kedua, apabila berita baik tentang sukacita besar, kedamaian, dan kasih mencapai kemuncaknya dan kita akan benar-benar hidup bahagia selama-lamanya.