Apakah yang Orang Kristian Raikan pada Hari Krismas?

Apakah yang Orang Kristian Raikan pada Hari Krismas?

Ramai di antara kita sudah biasa mendengar lagu-lagu Krismas. Saban tahun kita mendengarnya melalui radio, pada pembesar suara pintar, di TV, atau semasa kita membeli-belah. Mungkin kita juga membesar menyanyikannya bersama ahli-ahli keluarga dan boleh berkongsi cerita di sebalik lagu-lagu tersebut dengan orang lain. Namun kebiasaan kita dengan perayaan Krismas tidaklah sebaik pemahaman kita mengenai kepentingannya. Bernyanyi tentang Krismas adalah satu perkara; namun merupakan perkara lain untuk mempertimbangkan kedudukan setiap diri kita berhubung dengan peristiwa yang diraikan oleh perayaan Krismas.

Sejujurnya, peristiwa kelahiran Yesus sentiasa menimbulkan respons yang berbeza, baik pada zaman-Nya mahupun zaman kita. Seperti halnya dengan Herodes (Mat. 2:1–4 prospek kehadiran seorang raja yang lain di tempat tersebut meresahkan sesetengah pihak. Orang lain pula, seperti para gembala, berasa kagum dan takjub sewaktu mereka memikirkan kelahiran Kristus (Luk. 2:8–20). Bagi orang lain pula, dengan mengikut jejak orang majus, telah bertekad untuk mempersembahkan hadiah mereka yang paling berharga sebagai persembahan kepada Sang Juruselamat (Mat. 2:10–12). Dan kemudian ada lagi mereka yang, secara terus terang, tidak tahu bagaimana hendak mentafsirkan peristiwa tersebut.

Jika kita ingin memahami erti Hari Krismas, kita mesti menjawab dua buah soalan. Pertama: Siapakah anak yang dilahirkan di Betlehem itu? Dan yang kedua: Mengapa Dia muncul? Matius 1:18–25 memberikan dua buah nama kepada Anak Tuhan yang, apabila difahami dengan betul, memberikan jawapan kepada kedua-dua soalan penting tersebut.

 

Siapakah Bayi di dalam Palungan itu?

Identiti Yesus, Anak Tuhan, dinyatakan melalui nama Immanuel, yang bermaksud “Allah menyertai kita” (Mat. 1:23). Pemahaman mengenai nama ini memerlukan sedikit pengetahuan tentang latar belakang Perjanjian Lama. Ertinya, kemunculan Anak Tuhan telah menggenapi nubuatan dari zaman dahulu. Seawal kitab Kejadian—kitab pertama dalam Perjanjian Lama—janji Tuhan untuk bersama umat-Nya hadir dalam bentuk benih. Sejurus selepas kisah kejatuhan manusia ke dalam dosa, kita membaca tentang janji yang berharga ini: “Keturunannya akan meremukkan kepalamu, dan kamu akan meremukkan tumitnya” (Kej. 3:15). Ayat ini berbicara tentang siapa? Siapakah yang terlibat di dalamnya? Tidak lain tidak bukan, Dia ialah Anak Tuhan sendiri—yang akan meremukkan kepala ular itu, iaitu Iblis. Umpama kesimpulan bagi sebuah novel misteri yang menarik, di mana nota-nota dan tema-tema yang tampak berbeza akhirnya bersatu untuk menyelesaikan kes dalam novel itu, demikianlah beberapa petunjuk dan butiran dalam Perjanjian Lama mencapai kemuncaknya dalam kedatangan Anak Tuhan.

Jalan cerita Alkitab bukanlah tentang manusia yang mencari Tuhan tetapi tentang Tuhan yang mencari manusia. Bertentangan dengan tanggapan bahawa sejarah merupakan sejenis urutan kejadian yang sembarangan, yang tidak membawa kepentingan muktamad dari zaman purba hingga hari ini, Alkitab memandang sejarah sebagai penyingkapan rancangan Tuhan. Sejarah adalah kisah Tuhan. Kita mesti menerima hakikat bahawa jika dibiarkan kepada kita sendiri untuk cuba mencari Tuhan atau memahami sejarah, kita tidak dapat melakukannya. Sesungguhnya, tidak ada jalan intelek yang menuju kepada Tuhan. Satu-satunya cara seseorang boleh mengenali Tuhan dan memahami dunia ini dan tempat kita di dalamnya adalah bagi Tuhan menempatkan diri-Nya di alam di mana kita boleh bertemu dengan-Nya. Dan Tuhan sebenarnya telah melakukan hal ini dengan mengutus Anak-Nya—Immanuel, “Allah menyertai kita.”

 

Mengapa Dia Datang?

Sebab mengapa Anak Tuhan datang boleh dilihat dalam nama-Nya yang lain: “Engkau akan menamakan Dia Yesus,” perintah malaikat itu kepada Yusuf, “kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka” (Mat. 1:21). Nama Yesus adalah sama dengan nama Ibrani Yeshua (atau Yosua), yang bermaksud “Yahweh adalah penyelamatan.” Masa depan anak itu diungkapkan dalam nama-Nya: Dia datang untuk menyelamatkan orang yang berdosa.

Di seluruh Perjanjian Lama, umat Tuhan bersungguh-sungguh mencari seorang penyelamat. Apabila bayi lelaki di Betlehem itu dilahirkan, Dia dilahirkan sebagai Juruselamat ke dalam dunia yang berada dalam krisis dan dalam kalangan orang yang telah berputus asa. Dan walaupun sudah sekian lama Yesus lahir di Betlehem, sejak itu hanya sedikit yang telah berubah. Seperti orang-orang zaman dahulu, kita juga hidup dalam dunia yang penuh dengan krisis dan malapetaka. Dunia kita berada dalam keadaan amat huru-hara. Selepas sekian lama dan di sebalik segala kemajuan yang telah kita capai, kita masih tidak dapat hidup secara aman dengan satu sama lain. Kita boleh berkomunikasi dengan seseorang di sisi lain bumi ini dengan serta-merta, namun suami dan isteri tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain di seberang meja sarapan. Kanak-kanak berperang dengan ibu bapa mereka; hubungan menjadi renggang. Kenapa? Kitab Suci merungkai inti permasalahan tersebut: pada akhirnya, di dalam setiap krisis dan malapetaka terdapat realiti bahawa dosa-dosa kita telah memisahkan kita daripada Tuhan. Apa pun rupa manusia, ia bukanlah seperti yang Tuhan kehendaki.

Ringkasnya, apa yang salah dengan dunia hari ini adalah dosa—bukan setakat dosa-dosa, tetapi dosa. Ada perbezaan dalam kata-kata itu! Apabila kita berfikir tentang dosa-dosa, secara jamak, kita sering tergoda untuk memikirkan perkara yang telah kita lakukan atau tidak dilakukan. Tetapi Alkitab juga berbicara tentang dosa, secara tunggal. Kita berbuat dosa kerana kita berdosa secara semula jadi—dan oleh kerana kita berdosa, kita memerlukan seorang Juruselamat. Kita tidak mampu menyelamatkan diri. Keadaan kita menuntut seseorang yang datang dari luar dan menanggung kesusahan kita, serta mati menggantikan tempat kita.

Dapatkah anda menemui pesaing lain di luar sana? Dapatkah anda menemui juruselamat lain? Tiadalah penyelamatan melalui sesiapa yang lain, kerana tiada nama lain di bawah langit ini diberikan dalam kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita (Kis. 4:12).

 

Perkara Yang Terutama

Kelahiran Kristus sebagai Immanuel dan Juruselamat merupakan perkara yang bersejarah—tetapi ia juga merupakan soal iman.

Iman ini bukanlah barang dagangan, dan bukan juga sesuatu yang boleh diberikan oleh sesiapa pun, selain oleh Tuhan sendiri. Iman, atau kepercayaan terhadap Firman Tuhan, melibatkan fikiran, hati, dan kehendak. Jelas terdapat komponen intelek—walaupun ada orang yang berkata bahawa terdapat pemisahan antara akal dan iman. Tetapi Alkitab tidak pernah menggalakkan kita untuk melepaskan proses pemikiran kita supaya kita memperoleh iman. Alkitab menyentuh tentang sejarah dan fakta. Iman pada dasarnya adalah bersifat intelektual, selaras dengan akal secara sempurna.

Namun iman juga mengandungi dimensi emosi. Ia memerlukan kita untuk mempercayai janji-janji Tuhan, bersetuju dengan apa yang telah Dia katakan, dan mengakui keperluan kita di hadapan-Nya. Akhir sekali, iman merangkumi unsur kehendak. Dalam erti kata lain, harus ada pergerakan daripada persetujuan intelektual kepada komitmen sebenar. Memikirkan perkara yang benar tentang Tuhan atau menikmati idea tentang Tuhan tentunya penting. Tetapi iman yang benar membawa kepada tindakan, melangkah keluar dengan kepercayaan bahawa Tuhan adalah sebuah Peribadi seperti yang dikatakan-Nya dan yang akan melakukan apa yang Dia telah janjikan.

Inilah perkara yang terutama: iman bukanlah sekadar mengetahui bahawa wujud seseorang yang bernama Yesus atau bahkan mempercayai bahawa Yesus adalah sebuah Peribadi seperti yang dikatakan-Nya; iman adalah mengetahui dan mengalami hadirat dan kuasa-Nya dalam hidup kita. Dan satu-satunya cara kita mengetahuinya adalah apabila kita menjerumuskan diri kita ke dalam keluasan kasih, rahmat, dan pengampunan-Nya.

Sudahkah anda menyerahkan diri kepada Tuhan? Pernahkah anda terjun dengan iman ke dalam lautan pengampunan ilahi? Sebagaimana yang diumumkan oleh rasul Paulus, yang menulis berabad-abad yang lalu, “Sekaranglah waktunya Allah berkenan dan sekaranglah hari penyelamatan itu” (2 Kor. 6:2). Jadi, jika anda belum pernah percaya kepada Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat anda, mungkin anda dapat menjadikan kata-kata doa yang ringkas ini sebagai doa anda sendiri:

Tuhan Yesus Kristus, aku mengaku bahawa aku lebih lemah dan lebih berdosa daripada yang pernah kusedari, tetapi melalui Engkau, aku jauh lebih dikasihi dan diterima daripada yang pernah kuharapkan. Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau telah membayar hutangku, menanggung hukumanku, dan menawarkan pengampunan kepadaku. Sekarang aku berpaling daripada dosaku dan menerima Engkau sebagai Juruselamatku. Firman-Mu berkata bahawa sesiapa yang datang kepada Tuhan melalui Engkau, Dia tidak akan berpaling daripadanya. Dengarkanlah doaku, Tuhan Yesus Kristus. Amin.

 

Artikel ini diterjemah dan diadaptasi daripada khutbah berjudul “She Will Bear a Son” oleh Alistair Begg.
Hak cipta @ 2024, Truth For Life. 

 

Artikel asal diterbitkan di https://blog.truthforlife.org/what-do-christians-celebrate-at-christmas dan telah diterbitkan semula dengan kebenaran. 

 

Back to blog