Apa Maksud Nama Yesus?

Apa Maksud Nama Yesus?

Apabila seorang malaikat melawat Maria dan Yusuf untuk mengumumkan kelahiran Sang Mesias, dia menyampaikan arahan jelas tentang anak itu: “Namakanlah anak itu Yesus” (Mat 1:21 AVB; Luk 1:31). Kristus memiliki banyak nama yang mulia: Raja, Pencipta, Tuan (Ing. Lord), Hakim, Anak Tuhan, Anak Daud, Guru, Akulah, Yang Awal dan Yang Akhir, dsb. Akan tetapi malaikat itu memerintahkan supaya sebuah nama yang sangat khusus diberikan kepada-Nya pada saat kelahiran-Nya — dan kita mungkin tertanya-tanya apakah maksud di sebalik pilihan itu. Mengapa “Yesus”?

Nama itu sendiri bukanlah nama yang luar biasa. Malah, ia adalah versi Yunani bagi nama Yosua dalam kitab Perjanjian Lama. Dalam bahasa Ibrani, nama itu ialah Yeshua, dan jika diterjemahkan secara ringkas, ia bermaksud “TUHAN menyelamatkan.” Jadi, daripada semua nama mulia yang dapat diberikan kepada-Nya, nama yang akan menonjolkan Anak Tuhan yang berinkarnasi adalah nama yang menggambarkan-Nya sebagai Juruselamat. Nama Yesus mengutarakan maksud-Nya: “[kerana] Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka” (Mat 1:21 AVB). Seperti yang akan diumumkan oleh Petrus kelak, “tiada nama lain di bawah langit ini diberikan dalam kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita” (Kis 4:12 AVB).

Walaupun nama dan pelayanan Yesus mengundang orang ke dalam kasih kurnia, banyak orang tidak memberi respons kepada Yesus dengan mesra. Nama-Nya sangat berharga, namun begitu ramai orang menganggapnya sebagai perkara sampingan, atau malah memcemarkan nama itu. Semasa musim Krismas ini, kita patut bertanya kepada diri sendiri, “Apakah maksud nama Yesus bagi saya?”

Dicemarkan dan Dipinggirkan

Ramai orang tidak berminat dengan nama Yesus, kecuali mungkin hanya untuk menyumpah. Mereka tidak berminat dengan Yesus sebagai Sang Juruselamat, mereka tidak pernah mengalami kuasa Yesus untuk mengubah hidup mereka, dan mereka mungkin mempersoalkan sama ada Yesus benar-benar sebuah Peribadi seperti yang dikatakan-Nya — tetapi mereka masih terlalu mudah menggunakan nama-Nya untuk melatah ketika terkejut atau marah. Jadi, mereka memilih untuk mencemarkan nama Tuhan yang menjelma menjadi manusia, yang datang untuk menyelamatkan manusia daripada dosa-dosa kita.

Namun, nama Yesus dicemarkan bukan sahaja dengan cara yang ketara. Ramai orang memiliki rasa hormat tertentu terhadap nama Yesus, namun kehidupan mereka adalah sibuk, dan justeru Yesus akhirnya dipinggirkan. Lagipun, ada beberapa tempat untuk dikunjungi, orang untuk ditemui, wang untuk dicari, bil untuk dibayar, dan anak-anak untuk dibesarkan. Yesus hanyalah salah satu daripada banyaknya kewajipan, dan pastinya bukan keinginan utama mereka. Oleh itu, mereka ada hanya sedikit kesedaran bahawa mereka perlu benar-benar diselamatkan, dan mereka mengabaikan kesaksian tentang nama Yesus sendiri: bahawa Dia telah datang untuk menyelamatkan mereka.

Ada orang lain pula tersesat dalam keinginan mereka untuk berfikiran terbuka. Mereka mahu menjadi warga yang inklusif, yang tidak mahu menyinggung perasaan jiran-jiran mereka. Tetapi dalam proses tersebut, fikiran mereka yang terbuka telah menutup hati mereka terhadap kepercayaan. Matlamat untuk menjadi inklusif sepenuhnya tidak serasi dengan mesej bahawa “tiada nama lain ... yang dapat menyelamatkan kita.” Lelaki dan wanita yang sedemikian memilih untuk meletakkan Yesus di pinggiran sebagai salah seorang daripada banyaknya guru yang bijaksana yang boleh menunjukkan jalan kepada hidup yang lebih baik. Walaupun mereka mungkin menganggap diri menghormati-Nya, mereka sebenarnya menyangkal maksud nama Yesus dengan menafikan hakikat bahawa dunia memerlukan penyelamatan daripada-Nya.

Yang mengejutkan, malah orang yang mengaku dirinya sebagai Kristian pun boleh mencemarkan nama Yesus melalui rutin keagamaan mereka yang tidak mengandungi dasar iman pada Tuhan yang telah bangkit. Apabila orang menjalankan kewajipan agama, menggelar diri mereka Kristian, tetapi kehidupan mereka belum berubah dan mereka tidak mempunyai kesedaran mendalam tentang Yesus, mereka menggunakan nama-Nya dengan sia-sia (Kel 20:7). Menjadi seorang Kristian bukanlah sekadar melakukan perbuatan baik dan upacara keagamaan yang ditetapkan oleh Alkitab. Sebaliknya, ia melibatkan hidup yang bersatu dengan Kristus melalui anugerah oleh iman. Natijahnya, nama Yesus dicemarkan jika ia dipanggil sedangkan pada masa yang sama kesaksian mengenai nama-Nya dinafikan ketika seseorang berusaha menyelamatkan diri melalui perbuatan baiknya sendiri.

“Sungguh Manis Nama Itu”

Jika kamu sudah berhadapan dengan dosamu dan sudah percaya bahawa Yesus adalah Penyelamatmu, tidak ada nama yang lebih berharga bagimu selain daripada nama-Nya. Walaupun pada suatu masa kamu mungkin pernah menjauhkan diri daripada-Nya, mencemarkan nama-Nya dalam melatah, atau bahkan berfikir bahawa kamu dapat menyelamatkan diri melalui perbuatan baik, nama, peribadi, dan pekerjaan Yesus kini telah menjadi sangat berharga, kerana kamu telah mendekatkan diri kepada-Nya dan mengalami belas kasih, kebaikan, dan kemurahan-Nya.

Bagi mereka yang sedang berduka, Yesus Kristus adalah penghiburan pada saat meratapi kehilangan. Bagi mereka yang terlalu sibuk dengan diri sendiri, sesat dalam kehidupan, dan keliru akan masa depan mereka, Yesus membuka mata dan menunjukkan jalan kepada mereka. Bagi mereka yang merasa kehilangan dan kekosongan kerana hati nurani mereka menuduh diri dengan rasa bersalah siang dan malam, Yesus adalah sukacita dalam hidup mereka dan satu-satunya peribadi yang dapat menenangkan jiwa mereka. Ada pelbagai cara bagi seseorang untuk mendapati bahawa nama yang pernah mereka cemarkan itu adalah benar-benar berharga. Mereka boleh bersetuju sepenuh hati dengan senikata kidung pujian ini:

Manisnya nama Penebus;
Untuk yang beriman!
Pelipur lara hati yang sendu;
Yang takut pun tent'ram.

Apakah Maksud Nama Yesus Bagimu?

Sama ada kita pernah membenci nama Yesus atau bersikap tidak menentu, kita dapat menyedari bahawa Tuhan bekerja di dalam hati kita ketika kita berhadapan dengan dosa dan mendapati diri mengakui bahawa kita sendiri tidak dapat menyelesaikan masalah dosa tersebut. Kita tidak dapat menjadi insan yang lebih baik. Kita tidak dapat membuang rasa bersalah dari masa lalu atau pada masa kini. Kita tidak dapat menyelamatkan diri.

Tetapi apabila kita berasa yakin bahawa Yesus adalah jawapan kepada masalah kita yang terbesar, kita dapat menerima kurnia penyelamatan-Nya dalam iman seperti kanak-kanak. Yesus dilahirkan dalam palungan di Betlehem supaya Dia, seperti yang dikatakan Matius kepada kita, “menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka,” memulihkan dan mendamaikan mereka dengan Tuhan serta memberikan kepada mereka janji kehidupan kekal bersama-Nya. Dia melakukannya melalui kematian-Nya di kayu salib untuk menanggung hukuman ke atas dosa kita di atas bahu-Nya sendiri. Dan kini, setelah dibangkitkan dari antara orang mati, Dia duduk di sebelah kanan Tuhan Bapa — sebuah kesaksian kekal bahawa Dia telah menyelamatkan orang yang beriman kepada-Nya. Dan suatu hari nanti, Dia akan datang kembali untuk menjadikan segalanya baharu.

Nama yang diberikan kepada Anak Tuhan yang berinkarnasi adalah sangat bererti. Pada musim Krismas ini, luangkanlah masa untuk memahami betapa berharganya nama itu. Berimanlah kepada Yesus, Sang Penyelamat, dan bertenanglah dalam jaminan bahawa kamu boleh bersukacita dalam nama-Nya untuk selama-lamanya.

 

Artikel ini diterjemah dan diadaptasi daripada khutbah berjudul “The Name of Jesus” oleh Alistair Begg.
Hak cipta @ 2024, Truth For Life. 

 

Artikel asal diterbitkan di https://blog.truthforlife.org/what-does-the-name-jesus-mean dan telah diterbitkan semula dengan kebenaran. 

 

Back to blog